KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah projek menangani banjir perlu disempurnakan segera demi kebaikan rakyat.
Al-Sultan Abdullah bertitah, ini termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir yang telah dirancang, merujuk kepada projek yang disembah maklum kepada baginda bagi menangani masalah bencana itu di Sungai Lembing di sini.
"Kita harap ini dapat disegerakan," titah baginda ketika berkenan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing pada Sabtu.
Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah turut mencadangkan agar infrastruktur di Sungai Lembing dikaji semula kerana kawasan itu merupakan lokasi bersejarah dan masih didiami penduduk. Seri Paduka menzahirkan rasa simpati kepada penduduk di kawasan itu yang terpaksa berdepan dengan bencana banjir bukan sahaja pada musim tengkujuh tetapi juga semasa hujan lebat di luar monsun timur laut."Jalan untuk sampai di sini sudah mendap, sungai mungkin dah cetek. Cari kaedah supaya banjir ini dapat kita atasi.
"Mungkin sudah sampai masa kena kaji. Tengok sungai kita, kaji infrastruktur yang ada dengan lebih serius dan terperinci (untuk mengurangkan risiko banjir)," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga bertitah mencadangkan agar Sungai Kenau diperdalam bagi mengurangkan implikasi banjir di kawasan terlibat.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan seperti polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir.
Sewaktu lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan dan bantuan makanan daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada lebih 200 ketua isi rumah di PPS tersebut selain menyantuni mangsa banjir di dewan makan. - Bernama
KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi lemah berukuran 3.6 pada skala Richter dikesan berlaku di perairan timur Sabah pada 2.11 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa itu terletak di 6.2 darjah utara dan 118.4 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer iaitu 57 kilometer timur laut dari Sandakan, Sabah.
"Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu. - Bernama
CAMERON HIGHLANDS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, di sini disambung semula pagi ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi berkata operasi bermula pada 8.30 pagi dengan melibatkan 158 anggota serta pegawai dari Pahang, Perak dan Selangor.
"SAR turut disertai pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya," katanya kepada Bernama di Pos Kawalan Bomba di lokasi insiden itu hari ini.
Beliau berkata dua anjing pengesan (K9) JBPM turut digerakkan bagi membantu operasi yang menumpukan sektor tengah runtuhan berhampiran lokasi dua mayat mangsa ditemukan semalam, dalam radius 50 meter.
Menurut Md Gezani pemantauan oleh pihak JMG di lokasi setakat ini mendapati tiada pergerakan tanah baharu, namun operasi menyelamat terpaksa dihentikan sekiranya berlaku hujan lebat.
Tinjauan BERNAMA mendapati pasukan SAR dilihat membawa pelbagai peralatan menggali seperti cangkul, kit barangan asas serta pengusung dalam keadaan gerimis.
Mereka perlu berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk menuju ke lokasi runtuhan berikutan lokasi berkenaan tidak dapat diakses menggunakan kenderaan akibat berbukit.
Semalam, dua daripada lima mangsa yang tertimbus berjaya ditemukan dan telah dibawa keluar dari kawasan runtuhan.
Pada kira-kira 2.40 pagi semalam, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita dikhuatiri tertimbus selepas dua rumah pekerja yang dihuni kesemua mangsa ditimbus dalam insiden tanah runtuh itu.
– BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 2,953 mangsa banjir masih berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor setakat 6 pagi tadi.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Terengganu, sebanyak 1,188 mangsa ditempatkan di 10 PPS di Dungun, Besut (tujuh PPS, 416 mangsa), Setiu (empat PPS, 87 mangsa) dan Hulu Terengganu (tiga PPS, 121 mangsa).
Di Johor, 197 mangsa ditempatkan di satu PPS di Mersing dan 29 mangsa di satu PPS di Kota Tinggi.
Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.
Sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang dan Mersing, Sungai Pungai, Sungai Johor dan Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan), Sungai Pahang di Jerantut, Cameron Highlands, Kuantan, Maran dan Pekan, Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).
NADMA turut memaklumkan 37 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Jalan Durian Mentangau di Dungun Terengganu, Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi, Johor dan Jalan Utama Panching di Kuantan, Pahang. – BERNAMA
Mangsa banjir Johor meningkat
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di dua daerah terjejas banjir di negeri ini meningkat setakat jam 8 pagi ini kepada 226 orang daripada 109 keluarga berbanding 190 orang daripada 75 keluarga jam 8 malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata semua mangsa banjir kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing dan Kota Tinggi.
"Mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat sedikit kepada 29 orang daripada sembilan keluarga pagi ini berbanding 23 mangsa daripada tujuh keluarga malam tadi.
"Jumlah mangsa banjir di Mersing juga sedikit meningkat menjadi 197 orang daripada 100 keluarga berbanding 167 orang daripada 68 keluarga pada malam tadi yang kini ditempatkan di sebuah PPS iaitu di PPS Kompleks Taman Negara Endau Rompin," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Enam jalan ditutup di Kota Tinggi
Sementara itu, laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor memaklumkan terdapat enam jalan di Kota Tinggi yang terjejas banjir dan pengguna diminta guna jalan alternatif.
Jalan Johor Bahru – Endau (RISDA dan Yatama City), Jalan Lok Heng / Mawai / Sungai Mas (Semalok) hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja, manakala Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) ditutup untuk semua kenderaan dan Jalan Johor Bahru – Endau (sebelum RNR Panti dan di RNR Panti) hanya dibuka satu lorong sahaja.
Semua pengguna yang ingin melalui laluan berkenaan boleh menggunakan jalan alternatif di Jalan Kota Tinggi - Mersing.
