PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Solusi lebih holistik perlu dirancang elak banjir berulang

IPOH: Solusi lebih holistik perlu dirancang bagi mengelak banjir terus berulang di beberapa kawasan di Ipoh, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How.
Lee berkata tumpuan perlu diberikan bukan hanya kepada kerja-kerja mitigasi jangka pendek tetapi perlu menerapkan perubahan iklim termasuk pembangunan lestari dalam setiap aspek.
 
eliau berkata sudah tiba masa perkara itu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana banjir ialah fenomena alam yang tidak dapat dielakkan dan akan terus berlaku.
 
"Kemusnahan dan kehilangan yang berlaku jika berulang-ulang akan memberi kesan sangat negatif kepada mangsa banjir malah mengambil masa lama untuk kembali menjalani kehidupan normal," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta dekat sini semalam.
 
Seramai 34 keluarga terjejas di Kampung Sri Kinta, Pengkalan Pegoh, Kuala Pari dan Cempaka Sari menerima bantuan pascabanjir berjumlah RM500 selepas rumah mereka dilanda banjir pada 1 Dis lepas.
 
Mengulas lanjut, Lee berkata usaha mengurangkan masalah banjir di Kampung Sri Kinta telah dilaksanakan melalui satu projek mitigasi di kawasan panas berlakunya banjir besar.
 
"Pihaknya juga berharap kerajaan dapat melihat keperluan agar peruntukan tambahan diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya kerja penyelenggaraan dan naik taraf dapat dilakukan bagi mencegah banjir," katanya.
-- BERNAMA

Bomba selamatkan keluarga terperangkap banjir di Ranau

RANAU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan empat sekeluarga yang terperangkap banjir kilat di Kampung Sedul 1 Ranau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd.Taip berkata, panggilan kecemasan diterima jam 9.35 malam sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi yang terletak 16 kilometer dari BBP Ranau.

“Semasa ketibaan pasukan bomba di lokasi, terdapat sebuah keluarga masing-masing dua dewasa dan 2 kanak-kanak terperangkap banjir. 

“Pasukan bomba bertindak menyelamatkan mangsa terperangkap banjir untuk menyeberang sungai yang dinaiki air dengan menggunakan tali dan jaket keselamatan.

“Mangsa seterusnya dihantar ke rumah saudara-mara,” katanya.

Beliau berkata, selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan jam 11.22 malam.

Sebelum itu katanya, pasukan bomba menjalankan pemantauan di empat kampung yang terjejas akibat banjir kilat iaitu di Kampung Libang, Kananapon, SK Libang dan Kituntul.

TANGANI 4 ‘HOTSPOT’ BANJIR DI PANTAI KUNDOR

ANTAI KUNDOR 10 Januari – Usaha menangani pemasalahan banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor terus diberi perhatian apabila beberapa pendekatan diambil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata, di kawasan DUN Pantai Kundor terdapat empat hotspot banjir dikenal pasti dan sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat berterusan.

Katanya, usaha tersebut dipandang serius pihaknya bagi memastikan penduduk tidak lagi diselubungi kebimbangan apabila berlakunya bencana alam itu.

“Di Pantai Kundor ini terdapat empat hotspot banjir iaitu di Paya Luboh, Bukit Berlian, Tanjung Kling dan Paya Rumput, yang mana di setiap kawasan ini terdapat beberapa pemasalahan berkaitan saluran yang perlu diberi perhatian secara menyeluruh.

“Antara langkah pencegahan yang diambil untuk mengatasi bencana banjir ini kita akan pastikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan pembersihan dan melebarkan parit serta anak sungai sebelum tibanya musim tengkujuh atau peralihan monsun.

“Di pihak Japerun khususnya, kita sebolehnya mahukan masalah banjir ini dapat diselesaikan segera kerana apabila berlaku banjir perbelanjaan yang tinggi perlu dikeluarkan bagi memberi keselesaan dan menjaga kebajikan mangsa,” katanya.

Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, selain pemasalahan banjir, pihaknya juga memfokuskan pengindahan di kawasan sekitar Pantai Kundor khususnya lokasi tumpuan ramai di Pantai Puteri.

“Di Pantai Kundor ini tiada mercu tanda jadi untuk itu kita merancang untuk mengindahkan dengan pencahayaan dan juga membina pintu gerbang termasuk arca.

“Jadi apabila pengunjung atau mereka yang datang ke sini membuat naik gambar di media sosial, orang akan tahu lokasi itu adalah di Pantai Puteri namun begitu ia akan dilakukan apabila kerja-kerja tambakan laut selesai,” katanya.

Mangsa banjir di Perak bertambah hari ini

IPOH - Jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas, Manjung, sedikit meningkat pada Jumaat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan 18 orang daripada lima keluarga berlindung di PPS tersebut berbanding 15 orang daripada empat keluarga semalam.

 

"Kesemua mangsa yang terjejas banjir adalah penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Perak memaklumkan air Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk berada pada paras bahaya setinggi 2.56 meter (m) berbanding paras normal 1m.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan kebanyakan daerah antaranya Perak Tengah, Hilir Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang serta Muallim dijangka berlaku ribut dan hujan pada sebelah petang dan malam.

Jabatan Kerja Raya Perak turut memaklumkan laluan A175 Jalan Selat-Pulau Pebayan di Perak Tengah masih lagi ditutup kepada semua kenderaan berikutan laluan tersebut dinaiki air setinggi 0.8m. - Bernama

Amaran hujan berterusan tahap waspada di 6 negeri

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka melanda enam negeri sehingga lusa, 12 Januari ini.

Menurut MetMalaysia, kawasan terlibat termasuk seluruh negeri Melaka dan Johor, manakala di Terengganu, daerah yang terkesan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun serta Kemaman.

Pahang turut menerima amaran serupa di Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, manakala di Negeri Sembilan pula melibatkan Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.

Sarawak juga tidak terkecuali, dengan amaran hujan berterusan dikeluarkan di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu.

Pihak berkuasa turut mengingatkan orang awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga, terutama di kawasan yang dijangka terkesan oleh hujan lebat. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search