PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir: Pahang pulih sepenuhnya, Johor semakin baik

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Pahang pulih sepenuhnya manakala di Johor menunjukkan perkembangan positif selepas mencatatkan penurunan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini.

Di Pahang, satu-satunya PPS iaitu di Balai Raya Kampung Jawa, Rompin yang menempatkan 186 mangsa daripada 43 keluarga ditutup 12 tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Rompin memaklumkan kesemua penduduk Kampung Pantai 3 dan 4 serta Kampung Jawa yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Johor pula, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS berkurang kepada 230 orang hingga 4 petang ini berbanding 1,097 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan tiga PPS masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Pontian; Dewan Serbaguna Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kahang, Kluang.

Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir kekal 31 orang melibatkan sembilan keluarga dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi dan Kampung Pengkalan Damar, Manjung, yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di sini, setakat 4 petang ini.

Begitu juga di Sarawak, masih kekal dengan 20 mangsa banjir melibatkan 13 keluarga yang berlindung di PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit.

Kos pembaikan jalan akibat banjir cecah lebih RM100 juta - Nanta

KUALA LUMPUR: Kos pembaikan jalan akibat banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL) mencecah RM101.57 juta, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
 
Beliau berkata ia melibatkan kos pembaikan jalan di negeri-negeri di Semenanjung berjumlah RM45.37 juta meliputi pembaikan berkala pavement (jalan berturap), berkala bukan pavement, jambatan dan lampu isyarat serta lampu jalan.
 
Beliau berkata di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, pembaikan jalan akibat banjir melibatkan kos RM56.2 juta meliputi pembaikan berkala pavement dan berkala bukan pavement.
 
Pada masa sama, Nanta berkata kos pembaikan cerun runtuh di sembilan lokasi iaitu masing-masing dua di Kelantan dan Terengganu serta lima di Perak berjumlah kira-kira RM41 juta.
 
"Mungkin ada yang belum dilaporkan, kita sentiasa menerima laporan. Kita juga telah menggerakkan Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia atau BiGBen," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini, hari ini.
 
Sementara itu, Nanta mencadangkan supaya sistem merit dilaksanakan bagi mengukur tahap prestasi syarikat konsesi dan kontraktor dalam pelaksanaan tugas sekali gus meningkatkan akauntabiliti mereka.
 
Beliau berkata sistem itu akan dibincangkan dengan lebih komprehensif di peringkat pengurusan KKR bersama pihak berkepentingan supaya kata sepakat dapat dicapai bagi merealisasikan pelaksanaannya.
 
"Ini bukan pertama kali dibincangkan, jadi bagi saya ada baiknya kalau kita gunakan sistem merit sebab kita kena ada penanda aras. Jadi, kalau kita gunakan sistem merit mungkin boleh menggalakkan mereka ini lebih tekun dalam menggalas tanggungjawab mereka.
 
"Biarlah kita buat penelitian dulu, sekarang kita buat kajian bagaimana apabila kita gunakan sistem itu, sistem itu adalah lebih adil," katanya.
Terdahulu, Nanta ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan itu berkata selain sistem merit, platform pengurusan setiap projek juga akan dipantau secara telus daripada fasa perancangan sehingga ke fasa penyelenggaraan.
 
"Kita juga boleh memanfaatkan sistem data besar (big data) untuk menganalisis prestasi projek dan mengenal pasti potensi pembaikan sebelum masalah timbul. Dengan pengurusan lebih sistematik, kita yakin setiap projek dilaksanakan akan memberi impak yang maksimum kepada masyarakat dan negara," katanya.
 
 BERNAMA
 
 
 
 
 

RM600,000 Bina Pelindung Pantai, Baiki Jalan Runtuh

KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengangkat permohonan peruntukan RM600,000 di bawah Marris untuk kerja-kerja baik pulih jalan dan langkah pencegahan hakisan yang lebih serius.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata pihaknya komited untuk menangani isu-isu berkaitan infrastruktur dan alam sekitar demi memastikan kehidupan rakyat terus terpelihara.

"Kita akan membina struktur 'rock revetment' sepanjang 400 meter dengan kelebaran 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan.

"Selain itu, dari jumlah tersebut, kita membuat pembaikan terhadap jalan sedia ada yang telah rosak.

"Kerja-kerja ini dijangka dimulakan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, tertakluk kepada kelulusan peruntukan Marris dan keadaan semasa ombak akibat Monsun Timur Laut (MTL)," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, langkah itu penting bagi memastikan hakisan pantai tidak bertambah buruk dan untuk menjaga keselamatan serta kesejahteraan penduduk Kampung Tanjung.

Terdahulu, hakisan pantai yang berlaku di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Nerus akibat fenomena MTL telah mengakibatkan kerosakan jalan yang teruk.

Bencana alam tersebut juga memberi ancaman kepada keselamatan penduduk serta harta benda di kawasan berkenaan.

Hujan lebat badai Kelantan, Terengganu pagi ini

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan angin kencang di negeri Pantai Timur termasuk Sabah pagi ini.

MetMalaysia memaklumkan, cuaca buruk itu dijangka berlarutan sehingga pukul 1 tengah hari nanti.

“Di Kelantan, melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai,” katanya.
 

Sementara itu, hujan lebat dan angin kencang diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Terengganu seperti Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

“Bagi Sabah pula, antara kawasan yang mengalami cuaca buruk adalah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat),” tambahnya.

Walaubagaimanapun, cuaca cerah dan baik kelihatan di sekitar Lembah Klang serta Wilayah Persektuan Kuala Lumpur pagi ini. – KOSMO! ONLINE

 

Banjir: Bomba bantu hantar pelajar SPM ke SMK Kapit 2

KAPIT: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kapit 2 terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) malam tadi, selepas jalan keluar dari rumah panjangnya ditenggelami air banjir setinggi paras pinggang.

Pelajar tingkatan lima itu dipindahkan dari rumah panjangnya di kawasan Sungai Sibau, Jalan Bukit Goram ke asrama perempuan SMK Kapit 2 menggunakan bot fiber milik Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timoty Barat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.34 malam daripada seorang guru sekolah yang memohon bantuan memindahkan pelajar tersebut.  

“Pasukan kami segera dikerahkan dan tiba di lokasi dalam masa lima minit selepas menerima panggilan. Disebabkan keadaan jalan yang sempit, kami menggunakan bot fiber yang dipinjam daripada JPBNS kerana bot aluminium milik bomba tidak sesuai untuk kawasan tersebut.  

"Operasi berjalan lancar dan pelajar tersebut berjaya tiba di sekolah dengan selamat pada jam 11.19 malam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan bahawa jentera yang digunakan dalam operasi itu ialah sebuah 'Light Fire Rescue Tender' (LFRT) dan kenderaan pacuan empat roda untuk menunda bot fiber.

“Setelah pelajar diserahkan kepada guru warden asrama, pasukan kami memastikan keadaan banjir di kawasan rumah panjang pelajar tersebut masih terkawal. Rumah panjang itu bertiang tinggi, dan jarak air dari lantai rumah masih dianggarkan sekitar tujuh kaki,” tambahnya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search