PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 394 orang malam ini

KOTA KINABALU, 27 Feb: Jumlah mangsa banjir di daerah Telupid dan Paitan meningkat kepada 394 orang daripada 118 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 262 orang daripada 81 keluarga 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Telupid hari ini, menjadikan lima PPS dibuka di daerah itu setakat ini yang menempatkan 340 orang daripada 100 keluarga.

“Sebanyak 54 orang daripada 18 keluarga pula berlindung di dua PPS di Paitan.

“Trend pemindahan mangsa di Telupid dan Paitan meningkat pada malam ini,” menurut kenyataan.

Telupid dan Paitan terletak di kawasan pedalaman Sabah, masing-masing lebih 200 kilometer dan lebih 230 kilometer arah timur dari Kota Kinabalu. -TVS

2,258 murid B40 dan ahli Pandu Puteri Bintulu terjejas banjir terima sumbangan

BINTULU, 28 Feb: Seramai 2,258 murid daripada golongan B40 dan ahli Pandu Puteri dari 29 sekolah menengah dan rendah yang terjejas akibat banjir di Bintulu baru-baru ini menerima sumbangan kelengkapan sekolah pada satu majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu, hari ini.

Penyerahan simbolik sumbangan dilaksanakan oleh Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Inisiatif tersebut merupakan projek kolaborasi Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak bersama pihak OCI TerraSus Sdn Bhd.

Syarikat tersebut menderma RM100,000 kepada persatuan untuk membeli kelengkapan sekolah seperti beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas makanan.

Menurut Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, sumbangan tersebut merupakan komitmen pihak OCI TerraSus Sdn Bhd untuk memperkasakan wanita muda sebagai tonggak masyarakat melalui pembelajaran dan pembangunan kendiri.

Selain itu, katanya, persatuan turut menerima sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta bagi menjayakan program ini.

“Sumbangan ini diharap dapat memberi semangat kepada murid-murid untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa serta meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Adalah diharapkan program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, badan-badan korporat dan syarikat-syarikat besar untuk membantu mangsa-mangsa banjir, termasuk murid-murid sekolah di Bintulu yang terjejas teruk,” ujarnya.

Tambahnya, Persatuan Pandu Puteri turut sentiasa prihatin dengan sebarang musibah yang menimpa ahli-ahli Pandu Puteri dan masyarakat umumnya.

“Selain mengadakan latihan dan aktiviti berkaitan, ahli Pandu Puteri juga aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan,” ujarnya lagi. – TVS

Yayasan Felcra bantu mangsa banjir di Daerah Balingian

BALINGIAN, 28 Feb: Yayasan Felcra menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir di enam kampung di Daerah Balingian hari ini.

Bantuan bernilai RM4,000 itu diagihkan Kelab Belia Progresif Pekan Balingian kepada 50 keluarga yang terjejas banjir sejak 28 Januari lalu.

Pengerusi Kelab Belia Progresif Pekan Balingian, Mohd Helmi Zamil berkata, dengan sumbangan itu ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban penduduk yang terjejas banjir.

“Bakul makanan yang mengandungi beras, gula, teh, kopi dan mi segera ini diagihkan kepada 50 penerima dari enam buah kampung di Daerah Kecil Balingian,” katanya.

Katanya, penerima adalah dari Kampung Baru, Kampung Lintang, Kampung Masjid, Kampung Pulat, Kampung Suyong dan Kampung Kuala Balingian.

Menurutnya, Kelab Belia Progresif Pekan Balingian mewakili Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyampaikan sumbangan bakul makanan sebanyak 50 bungkusan kepada keluarga mangsa banjir yang terjejas awal Februari lepas.

“Bakul makanan yg mengandungi beras, makanan mee segera, teh dan kopi, gula, biskut sebagai makanan asas,” ujarnya.-TVS

Mangsa banjir di Sabah meningkat sedikit pagi ini

KOTA KINABALU, 28 Feb: Jumlah mangsa banjir di daerah Telupid dan Paitan sedikit bertambah kepada 397 orang daripada 119 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 394 orang daripada 118 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Telupid yang menempatkan 340 orang daripada 100 keluarga.

“Sebanyak 57 orang daripada 19 keluarga pula berlindung di dua PPS di Paitan.

“Trend pemindahan mangsa di Telupid dan Paitan kekal pagi ini,” menurut kenyataan itu.

Telupid dan Paitan terletak di kawasan pedalaman Sabah, masing-masing lebih 200 kilometer dan lebih 230 kilometer arah timur dari Kota Kinabalu.-TVS

MPS komited selesai isu tanah runtuh di Rantau Panjang Jaya

SIBU, 28 Feb: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sekali lagi menunjukkan komitmennya dalam memastikan keselamatan awam.

Ia telah mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu tanah runtuh di Lorong Rantau Panjang Jaya 7 di sini.

Kejadian itu menyebabkan jalan runtuh di hadapan sederet rumah kediaman pada 4 Februari lalu.

Mesyuarat yang diadakan pada Rabu lepas dipengerusikan oleh Pengerusi MPS, Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.

Ia bertujuan untuk mengumpul maklum balas serta anggaran bajet daripada pelbagai pihak bagi kerja pembaikan segera di kawasan yang terjejas.

Pihak MPS telah memastikan bahawa langkah segera akan diambil untuk mengembalikan keselamatan kepada penduduk setempat.

Selain itu, kajian dijalankan untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengelak kejadian serupa daripada berlaku pada masa hadapan.

“Kami sangat komited untuk memastikan keselamatan penduduk dan memulihkan keadaan dengan segera.

“Semua pihak yang terlibat akan bekerjasama untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dengan sokongan pelbagai pihak, MPS berharap agar proses pembaikan dapat dijalankan tanpa halangan.

Ini bagi memastikan kawasan yang terjejas dapat dipulihkan, dan keselamatan penduduk kembali terjamin.

Dalam laporan sebelum ini, Clarence memaklumkan bahawa pihaknya telah memohon peruntukan bencana sebanyak RM7 juta daripada Kerajaan Sarawak bagi membaik pulih perumahan Rantau Panjang Jaya yang terjejas akibat kejadian berkenaan.

Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada hakisan tanah di bawah pagar yang mengelilingi parit di kawasan berkenaan.

Clarence berkata usaha pemulihan yang dirancang bukan sekadar pembaikan sementara, tetapi melibatkan kaedah lebih kukuh seperti penanaman cerucuk bagi menstabilkan kawasan yang terjejas.

“Namun, proses ini memerlukan penelitian rapi serta perancangan menyeluruh oleh jurutera bagi memastikan reka bentuk struktur yang dibina mampu bertahan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Clarence membuat kenyataan itu kepada media pada Majlis Makan Malam Gala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pelawan pada 15 Februari lalu.-TVS

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search