Kota Bharu: Dua sungai di Kelantan masih melepasi paras bahaya, dua sungai paras amaran dan lima sungai paras waspada sehingga pagi ini
Berdasarkan Public Info Banjir, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang melepasi paras bahaya masing-masing dengan bacaan 10.04 meter (m) dan 59.83 m.
Sungai yang melepasi paras amaran ialah Sungai Sokor di Kampung Sokor, dan Sungai Kelantan di Kuala Krai.
Sementara itu, lima sungai melepasi paras waspada adalah Sungai Lebir di Kampung Tualang, Sungai di Kampung Pulau Lima, Sungai di Tok Bali, Sungai Golok di Kampung Jenob dan Sungai Kusial di Kusial Baru.
Banjir: Kelantan kekal paling terjejas, Perak, Kedah dan Terengganu rekod lonjakan mangsa
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Kelantan kekal mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi dengan lebih 11,000 orang setakat malam ini, manakala Perak, Kedah, Terengganu dan Perlis turut merekodkan peningkatan ketara dan Pahang tidak berubah.
Di KELANTAN, mangsa banjir terus meningkat kepada 11,120 orang daripada 4,188 keluarga berbanding 10,578 orang daripada 4,016 keluarga petang tadi.
Berdasarkan laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 66 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.
Laman web Infopublic Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Galas di Limau Kasturi kekal melepasi tahap bahaya setakat 8.30 malam.
Seorang wanita warga emas, Siti Gayah Zakaria, 70, menjadi korban bencana itu selepas dihanyutkan air deras di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok, Tanah Merah awal pagi tadi.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus bertambah kepada 5,424 orang daripada 1,686 keluarga berbanding 4,739 orang daripada 1,469 keluarga petang tadi yang berlindung di 44 PPS.
Lapan daerah terjejas ialah Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Larut Matang dan Selama, Muallim dan Batang Padang.
Manjung kekal jumlah mangsa tertinggi dengan 1,983 orang daripada 588 keluarga masih ditempatkan di 16 PPS, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak.
Di KEDAH, angka penduduk dipindahkan ke PPS meningkat kepada 4,142 orang daripada 1,414 keluarga, berbanding 3,101 orang daripada 1,058 keluarga, petang tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena itu ditempatkan di 21 PPS.
Kubang Pasu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 2,435 orang daripada 897 keluarga ditempatkan di 15 PPS manakala di Kota Setar, sebanyak 1,562 orang daripada 470 keluarga ditempatkan di lima PPS.
Di daerah Pokok Sena, sebanyak 145 orang daripada 47 keluarga ditempatkan di satu PPS yang baharu dibuka pagi tadi.
Di TERENGGANU, hujan berterusan sepanjang hari menyebabkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,233 orang daripada 1,050 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 2,525 orang daripada 800 keluarga pada 3 petang tadi.
Sebanyak 39 PPS dibuka yang menempatkan mangsa banjir di enam daerah iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Dungun.
Di PERLIS, mangsa banjir semakin bertambah menjadi 6,627 orang setakat malam ini berbanding 6,370 orang pada sebelah petang tadi.
Berdasarkan data Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di 21 PPS bagi kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar setakat 8 malam ini.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lapan keluarga dengan kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis.
JOHOR BAHRU – Penduduk daerah Segamat dan Tangkak diminta bersedia berikutan amaran hujan berterusan (waspada) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi bermula Jumaat dan Sabtu ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bersama semua agensi keselamatan dan pengurusan bencana sedang bersiapsiaga, termasuk pemantauan paras air sungai, logistik, serta penyelarasan tindakan di kawasan berisiko.
"Saya telah menerima makluman terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bahawa amaran hujan berterusan (Waspada) telah dikeluarkan bagi daerah Segamat dan Tangkak, dari 28 hingga 29 November ini.
"Amaran ini dikeluarkan berikutan jangkaan sistem cuaca bertekanan rendah yang kini berada di Selat Melaka dan dijangka bergerak ke timur merentasi Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang dalam tempoh tersebut.
"Pergerakan sistem cuaca ini turut memberi potensi berlakunya hujan berterusan di kawasan utara Johor," katanya dalam muat naik di Facebook rasminya.
Onn Hafiz seterusnya meminta orang ramai sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa dan patuh arahan pihak berkuasa terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai atau yang kerap terjejas ketika musim hujan.
Ribut tropika: Hujan lebat, angin kencang dijangka landa utara Semenanjung - MetMalaysia
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR - Hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung susulan pembentukan ribut tropika berhampiran kawasan berkenaan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, ketika cerapan pada jam 11 pagi tadi, ribut itu dikesan berada di latitud 4.5 utara dan longitud 97.9 timur, kira-kira 309 kilometer (km) ke tenggara Bandar Acheh, Indonesia, dan 284 km ke barat daya George Town, Pulau Pinang.
Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut dan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi di www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638. - Bernama
KANGAR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memohon mangsa banjir di seluruh negara supaya mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat pemindahan sementara (PPS) serta melengkapkan maklumat dalam aplikasi MyIBJKM untuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 disalurkan dengan cepat dan teratur.
Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim, berkata pendaftaran rasmi dengan JKM di PPS adalah syarat utama sebelum bantuan itu dapat disalurkan kepada ketua isi rumah (KIR) selain memudahkan pengesahan maklumat melalui sistem yang digunakan jabatan itu.
"Bantuan ini diberikan kepada mangsa yang terjejas banjir walaupun tidak berpindah ke PPS, yang pertama kena daftar dengan JKM dahulu, kemudian daftar dalam aplikasi.
"Jika mereka tidak daftar, kita bimbang timbul masalah sehingga melambatkan bayaran. Jadi, saya amat berharap semua mangsa, di mana-mana sahaja mereka berada, datang ke PPS dan daftar dalam aplikasi MyIBJKM menggunakan kod QR yang disediakan oleh JKM," katanya selepas meninjau PPS Dewan 2020 di sini, semalam.
Meor Ismail berkata, proses pembayaran bantuan itu akan dibuat melalui dua kaedah, iaitu secara pindahan wang elektronik (ETF) kepada penerima yang mengemas kini butiran dalam mana-mana akaun bank melalui MyIBJKM atau secara tunai kepada mereka yang tiada akaun dengan bantuan boleh diambil di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN).
"BSN akan memberikan notifikasi melalui SMS (Sistem Pesanan Ringkas) berkaitan kaedah bayaran BWI kepada penerima layak. Kita berharap semua mangsa yang layak, daftarlah dalam aplikasi MyIBJKM. Jika ada masalah teknikal atau tidak faham prosesnya, boleh jumpa pegawai JKM di PPS. Insya-Allah, semua dipermudah," katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihati mangsa yang mempunyai anak kecil dan warga emas atau ahli keluarga berisiko tinggi supaya berpindah ke PPS demi keselamatan masing-masing selain memastikan pergerakan kanak-kanak sentiasa dipantau sepanjang berada di PPS.
Mengenai situasi banjir di Perlis, Meor Ismail berkata keadaan pada masa ini terkawal walaupun negeri itu sedang mengalami episod hujan berterusan berdasarkan ramalan semasa.
"Perlis pernah mengalami banjir besar pada 2010, dan kali ini juga luar biasa. Tetapi, saya lihat semua agensi bersiap siaga, koordinasi pun lancar. Kita doa keadaan kembali pulih dan jumlah mangsa semakin berkurang," katanya. – BERNAMA
