Lebih 6,000 rakyat Malaysia terperangkap banjir di Thailand selamat dibawa pulang - PM
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih 6,000 rakyat Malaysia yang terperangkap akibat bencana banjir di Selatan Thailand telah selamat tiba di tanah air sejak operasi menyelamat digerakkan pada Ahad lepas (23 November).
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata, misi berkenaan dilaksanakan dengan sebahagian besar disumbangkan oleh hampir 20 badan sukarelawan Malaysia yang digerakkan dengan kerjasama Wisma Putra, termasuk 13 pasukan bomba sukarela, selain bantuan kerajaan Thailand.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) atas bantuan dan koordinasi dalam menguruskan 36 pelajar serta dua pensyarah universiti itu yang terkandas di Hat Yai.
"Penat lelah dan komitmen semua pihak dalam memastikan keselamatan mereka mencerminkan keprihatinan, kepedulian dan semangat kebersamaan yang begitu tinggi tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang," kata beliau.
Anwar turut menyeru rakyat untuk terus mendoakan keselamatan sukarelawan serta semua pihak yang sedang meneruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di negara jiran berkenaan.
"Kerajaan melalui Wisma Putra akan terus memantau rapat situasi ini dan menghulurkan bantuan secepat mungkin. Terima kasih semua!," kata Perdana Menteri. - Bernama
Ribut Tropika Senyar: Semua masjid, surau Jumaat di bawah Jakim dan Jawi diarah adakan solat hajat khas esok
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR - Semua masjid dan surau Jumaat di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah untuk melaksanakan solat hajat khas esok, selepas solat Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu bagi memohon perlindungan ALLAH SWT agar negara dan rakyat dijauhkan daripada sebarang musibah termasuk banjir, ribut dan kerosakan harta benda serta segala bentuk ujian yang menimpa masyarakat.
"Semoga dengan ikhtiar doa dan munajat seluruh umat, ALLAH SWT mengangkat segala kesulitan, menurunkan rahmat serta mengurniakan kesejahteraan kepada negara tercinta, Malaysia," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip hari ini berkata, penduduk di Selangor, Perak dan sebahagian Pahang dinasihatkan berwaspada kerana Ribut Tropika Senyar yang boleh menyebabkan cuaca tidak menentu dijangka melanda berterusan bermula seawal tengah malam ini hingga Sabtu.
Ribut berkenaan juga dijangka turut memberi kesan kepada Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. - Bernama
SHAH ALAM - Ribut Tropika Senyar yang pertama kali dijangka melanda Selangor memaksa seluruh aset kerajaan negeri digerakkan bagi menghadapi kemungkinan bencana termasuk banjir dan kenaikan paras air secara mendadak.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua jentera di peringkat negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diaktifkan selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) petang Khamis mengesahkan ribut tropika itu sedang merentasi Selat Melaka menuju ke pesisir Pantai Barat antara sempadan Selangor dan Perak.
“Saya telah mengarahkan semua agensi memastikan setiap kenderaan dan bot diperiksa bagi memastikan ia boleh digerakkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Amirudin, terdapat 45 stesen amaran siren di seluruh negeri yang akan diaktifkan sekiranya paras air dijangka mencapai tahap bahaya.
“Saya menyeru rakyat Selangor supaya berwaspada dan peka dengan setiap amaran serta arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Sekiranya siren di kawasan anda dibunyikan dan arahan pemindahan dikeluarkan, patuhi segera dan daftarkan diri di PPS terdekat,” jelas beliau.
Beliau berkata, sebanyak 1,173 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri yang mampu menempatkan sehingga 244,000 penduduk kini berada dalam mod siap siaga melibatkan sekolah, masjid, dewan dan balai raya yang turut dilengkapi keperluan asas.
Amirudin memberitahu, ribut yang dikesan di Sumatera mampu mencapai kelajuan sehingga 50 km/j dan dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini.
Amirudin berkata, Selangor tidak pernah berdepan ribut tropika sebelum ini dan persiapan menyeluruh dilakukan bagi memastikan keselamatan rakyat.
“Keutamaan kerajaan negeri adalah memastikan keselamatan semua warga Selangor ketika menghadapi ancaman ribut tropika itu.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan MetMalaysia melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri serta Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya.
Sebarang perkembangan situasi cuaca akan dimaklumkan melalui platform rasmi MetMalaysia serta laman web met.gov.my.
Petaling Jaya: Selepas kira-kira 24 tahun berlalu, negara kembali berdepan ancaman angin kencang mencapai kelajuan sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan hujan lebat berterusan apabila ribut tropika Senyar membadai beberapa negeri di Semenanjung Malaysia tengah malam tadi.
Ribut Tropika Senyar yang sudah memberi kesan di Indonesia, bergerak memasuki ruang udara negara ini sejak jam 3 petang semalam, sebelum mencetuskan hujan lebat berterusan bermula tengah malam.
Senyar terbentuk akibat fenomeno La Nina, yang bertembung dengan sistem tekanan cuaca rendah di utara Semenanjung serta luruan monsun dari tanah besar China.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata antara negeri menerima kesan ribut itu ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.
Beliau berkata, ribut tropika itu mula memberi kesan di Indonesia sejak 3.30 petang semalam sebelum memasuki Semenanjung Malaysia dan bergerak menuju Laut China Selatan.
“Ribut Tropika Senyar kini berada pada Latitud 3.6° Utara dan Longitud 100.4° Timur, ia dijangka bergerak ke arah timur dengan kelajuan 9 kilometer sejam (km/j) dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 50 km/j.
“Ia dijangka melanda negara dalam tempoh 24 jam. Jika berlaku, ini menjadi ribut tropika ketiga melanda negara selepas Greg pada 1996 dan Vamei pada 2001,” katanya pada sidang media mengenai Perkembangan Terkini Ribut Tropika Senyar, di sini, petang semalam.
Kemas kini maklumat
Mengulas lanjut, Mohd Hisham memaklumkan, Metmalaysia sudah mengeluarkan nasihat berkaitan sistem ribut ini sejak 23 November lalu.
Katanya, Metmalaysia mengemas kini maklumat berkenaan pergerakan ribut tropika itu setiap tiga jam dan sebarang info terkini boleh diperoleh di laman web Metmalaysia.
“Nasihat ini kita keluarkan apabila sistem tersebut sudah memasuki kawasan pemantauan MET Malaysia iaitu dalam lingkungan latitud 0° sehingga 20°U dan longitud 95° sehingga 130°T.
“MET Malaysia juga sudah mengemas kini amaran ribut tropika, amaran hujan berterusan dan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi beberapa negeri sehingga Sabtu ini.
“Ia bakal membabitkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Justeru, saya minta semua pihak untuk bersiap sedia dengan episod hujan lebat luar biasa kali ini,” katanya.
Sementara itu, hujan lebat yang kadang kala berterusan di kebanyakan negeri semalam, menyebabkan keadaan banjir yang sedang dialami sembilan negeri khususnya di utara dan pantai timur ketika ini tidak banyak berubah.
Sehingga jam 6.30 petang semalam, jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencapai 27,000 orang daripada 9,000 keluarga dengan 222 pusat pemindahan sementara sedang beroperasi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sedang melihat kesesuaian melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) di sekolah yang terjejas akibat banjir sehingga penggal persekolahan tamat tahun ini.
Beliau berkata, langkah itu adalah antara pelan kecemasan yang disediakan pihaknya, selain bekerjasama bersama agensi pengurusan bencana di negara ini.
36 lembangan sungai dipantau
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Sebanyak 36 lembangan sungai di Semenanjung dipantau oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, bagi memastikan ramalan dan amaran banjir dapat dikeluarkan dengan tepat.
Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Mohamad Radzi Abdul Talib, berkata antara lembangan yang dipantau termasuk Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Kelantan.
“Di Terengganu, Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Paka dan Sungai Kemaman; Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Buloh, Sungai Klang dan Sungai Langat di Selangor; Sungai Muda, Sungai Kedah dan Sungai Melaka di Kedah; serta Sungai Kerian, Sungai Kurau dan Sungai Perak di Perak,” katanya semalam.
Beliau berkata, lonjakan ketara paras air sungai berlaku akibat hujan lebat berterusan dan menjejaskan penduduk di negeri terbabit.
“Di Kelantan, beberapa sungai utama termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak berada pada atau melepasi paras bahaya di Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu.
“Kota Bharu merekodkan 697 milimeter hujan dalam tempoh tiga hari antara 21 hingga 23 November, iaitu 157 peratus lebih tinggi daripada purata hujan bulanan November bagi tempoh 2021 hingga 2023, menunjukkan betapa seriusnya keadaan di negeri itu,” katanya.
Di Terengganu beliau berkata, Setiu menerima hujan sebanyak 284.5 mm dalam tempoh tiga hari dari 21 hingga 23 November.
“Jumlah itu sudah melebihi separuh daripada purata hujan bulanan November bagi negeri itu dalam tempoh 2021 hingga 2023, iaitu 514 mm,” katanya.
Mohamad Radzi berkata, JPS membuat persiapan rapi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula 13 November lalu dan dijangka berlanjutan sehingga Mac 2026.
Katanya, JPS melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir mengoperasi sistem model ramalan menggunakan pendekatan hidrodinamik yang menggabungkan data hidrologi daripada stesen telemetri serta ramalan hujan MET Malaysia berdasarkan teknologi satelit dan radar.
“Sistem ini membolehkan simulasi banjir dijana seawal tujuh hari, manakala hebahan awal kepada agensi berkaitan dan orang awam boleh dibuat dalam tempoh dua hari selepas menerima ramalan cuaca signifikan,” katanya.
Beliau berkata, JPS akan mengeluarkan buletin amaran banjir kepada JPS Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memastikan tindakan penyelamat dapat dijalankan dengan segera.
