Awal Januari tempoh kritikal cuaca Sarawak
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 30 DIS: Tempoh awal Januari dikenal pasti sebagai fasa kritikal cuaca di Sarawak susulan jangkaan luruan Monsun Timur Laut yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta keadaan laut bergelora di beberapa kawasan negeri ini.
Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Khairul Najib berkata berdasarkan data dan ramalan cuaca terkini, luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula 1 hingga 5 Januari 2026, sekali gus meningkatkan risiko kejadian cuaca buruk di Sarawak.
Menurut beliau, keadaan tersebut berpotensi menyebabkan hujan lebat yang signifikan, terutamanya di kawasan rendah, pedalaman serta pesisir pantai Sarawak, selain turut memberi kesan kepada aktiviti harian penduduk dan sektor maritim.
“Dalam tempoh ini, Sarawak berisiko mengalami hujan lebat berterusan yang disertai angin kencang dan laut bergelora. Oleh itu, pemantauan rapi sedang dilaksanakan bagi memastikan maklumat cuaca dapat disampaikan dengan cepat dan tepat kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi TVS, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus meningkatkan tahap pemantauan cuaca di Sarawak dan akan mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan sekiranya keadaan cuaca menunjukkan tanda-tanda berbahaya.
Khairul Najib turut menasihatkan penduduk Sarawak, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir, pesisir pantai dan yang terlibat dalam aktiviti laut, supaya sentiasa berwaspada serta mengambil langkah kesiapsiagaan sepanjang tempoh berkenaan.
Orang ramai juga disarankan agar sentiasa merujuk laman web rasmi MET Malaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial rasmi MET Malaysia, serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih.-TVS
