PAPAR - Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) terpaksa melakukan tiga letupan bagi memusnah bom lama tinggalan Perang Dunia Kedua di tapak pembinaan loji air berhampiran sebuah kilang di Kinarut pada Ahad.
Operasi memusnahkan bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial itu turut mengambil masa selama lima jam bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.
"Proses pertama berjaya dilakukan oleh pihak UPB dan letupan kedua dilakukan pada jam 1.25 tengah hari.
"Kemudian disusuli dengan letupan ketiga dan telah berjaya meletupkan bom tersebut di mana UPB melakukan letupan terkawal sebagai langkah terakhir dan keselamatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, proses melupuskan bom itu turut dilakukan dengan mengambil beberapa tindakan sebagai langkah keselamatan.
"Sepanjang tempoh kerja letupan dilakukan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Sebelum letupan dilakukan, pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah dimaklumkan.
"Selepas selesai kerja meletupkan bom, pasukan Balai Polis Kinarut bergerak mendapatkan maklumat dari kawasan sekitar jika ada yang terkesan akibat letupan tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, proses itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
"Tiada sebarang kecederaan pada mana-mana orang atau sebarang kerosakkan harta benda awam yang berlaku," katanya.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan, sebutir lagi bom lama ditemui pada Khamis lalu, di lokasi sama di tapak pembinaan berhampiran sebuah kilang di Kinarut, di sini, selepas penemuan pertama pada Selasa lalu.
KUANTAN: Kawasan Balok Baru di sini merekodkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kategori sangat tidak sihat iaitu 251 setakat 2 petang ini, susulan kebakaran ladang kelapa berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular di sini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Wandi Yadzid Yaakob, berkata pihaknya sedang memantau keadaan berkenaan dan bacaan IPU juga didapati meningkat dengan ketara hari ini.
"Jarak lokasi kebakaran dengan kawasan tersebut (Balok Baru) lebih kurang 11 kilometer kemungkinan arah angin telah membawa ke Balok Baru," katanya ketika dihubungi Bernama.
Susulan itu, beliau berkata penduduk setempat dan berhampiran terutama pelajar selain warga emas serta individu yang mempunyai penyakit berkaitan pernafasan tidak digalakkan melakukan aktiviti luar.
"Sekolah sebaiknya hentikan aktiviti luar hingga bacaan turun semula dan kita harap ia dapat turun dalam tempoh 24 jam kerana saya difahamkan bomba sedang giat memadamkan kebakaran," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata usaha memadamkan kebakaran giat dilakukan di kawasan itu dengan lebih 70 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi yang memasuki hari kesembilan.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya telah memadamkan kebakaran seluas 66.77 hektar daripada 75.67 hektar kawasan yang terbakar.
"Kebakaran juga merebak semula semalam akibat tiupan angin kencang," katanya. – BERNAMA
MELAKA – Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengetuai sekumpulan 60 orang mahasiswa dari pelbagai universiti dalam menjayakan Projek Kesukarelawanan Mahasiswa Madani Intervarsiti Pasca-Monsun di Kampung Tok Saboh, Besut, Terengganu, baru-baru ini.
Pengarah Program, Haziq Zainudin, 23, berkata, program ini merupakan inisiatif UTeM bagi menggerakkan semangat kesukarelawanan mahasiswa-mahasiswa pelbagai universiti untuk menjayakan projek khidmat komuniti ini.
Katanya, beliau terpanggil untuk mengetuai misi ini kerana menyelami realiti kegetiran dan kesukaran yang dihadapi penduduk di sana yang tentunya mengharapkan bantuan segera usaha membaik pulih prasarana yang masih terjejas akibat bencana sebelum ini.
Antara aktiviti bantuan pemulihan yang dilaksanakan pemasangan lampu solar, penambahbaikan infrastruktur balai raya dan menyediakan khidmat kesihatan melalui klinik bergerak.
“Pada masa yang sama kami turut mengambil peluang ini dengan memberikan pendedahan dan penerangan lanjut berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak dan penduduk kampung tersebut dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut.
“Kami beruntung kerana majoriti sukarelawan yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada mahasiswa dari universiti di bawah rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
“Justeru, agak mudah untuk kami mengaplikasikan kemahiran teknikal secara sistematik dan berfokus bagi melancarkan perjalanan operasi usaha pemulihan infrastruktur ini dengan jayanya,” katanya.
Mengulas lanjut, penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik itu berkata, projek ini bukan sekadar inisiatif sukarelawan biasa, tetapi ia mendapat dokongan penyelidikan di bawah geran yang diketuai oleh Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
“Program ini bersifat praktikal dan berpandukan kajian yang dijalankan, bagi memastikan setiap usaha yang dilakukan benar-benar menepati keperluan serta kehendak masyarakat setempat dan menjadi platform bagi mahasiswa untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi sebenar,” katanya.
Dr Massila berkata, UTeM sentiasa ke hadapan dalam memperkasakan mahasiswanya untuk lebih holistik dan mampan bukan hanya dalam bidang akademik malahan turut memberikan kesan langsung kepada masyarakat.
Inisiatif sebegini adalah selari dan seiring dengan salah satu daripada fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi tahun 2025 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang menyentuh kepada kemenjadian mahasiswa.
Bukan itu sahaja, uniknya projek sebegini bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat, malah turut memperkukuhkan konsep Mahasiswa Madani,” ujarnya. – MalaysiaGazette
JAKARTA, 3 Mac: Hujan lebat sejak malam Ahad menyebabkan Sungai Cimanceuri melimpah, mengakibatkan banjir besar di beberapa kawasan di Bogor, Jawa Barat.
Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Barat melaporkan ratusan rumah ditenggelami air, manakala seorang penduduk masih hilang.
Antara kawasan terjejas ialah Rumpin, Bojong Gede, dan Cisarua. Di Kampung Sukasari, Rumpin, sebuah rumah dan sebuah sekolah turut dinaiki air.
Di Kampung Rawapanjang, 137 rumah terjejas menyebabkan 547 penduduk terpaksa dipindahkan.
Sementara itu, di Kampung Tugu Selatan, 119 rumah ditenggelami air dan memaksa 423 penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata, seorang lelaki dikenali sebagai Asep Mulyana, 59, dihanyutkan arus selepas Sungai Cisaru melimpah, menyebabkan kawasan itu ditenggelami air sehingga paras lutut.
Usaha mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini dengan pasukan BPBD, pihak berkuasa tempatan serta sukarelawan dikerah ke lokasi kejadian. -TVS