Dasar pengurusan bencana negara akan disemak semula - Ahmad Zahid
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Dasar Pengurusan Bencana Negara akan disemak semula bagi meningkatkan daya tahan serta mengukuhkan kesiapsiagaan dan keupayaan negara dalam menguruskan bencana dengan lebih baik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri bagi semakan semula dasar itu, yang sekali gus dapat memastikan ancaman bencana negara berada pada tahap minimum.
"Sebagai usaha permulaan terhadap hasrat itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang di peringkat akhir proses semakan semula Arahan MKN No 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara agar selari dengan keperluan dan evolusi pengurusan bencana yang semakin kompleks.
"Pindaan Arahan MKN No 20 dijangka memantapkan lagi pengurusan, lebih-lebih lagi ia merupakan dokumen rujukan utama dalam koordinasi dan mekanisme pengurusan bencana negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut 2023/2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM5 juta yang disediakan kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).
Secara keseluruhannya, Ahmad Zahid berkata, sepanjang musim MTL lalu, sebanyak 27,505 keluarga dan 92,534 mangsa ditempatkan di 751 pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, jumlah mangsa juga adalah jauh lebih rendah berbanding 2022 iaitu 251,799 mangsa yang dipindahkan.
Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, agensi tindak balas, agensi teknikal, syarikat telekomunikasi, badan bukan kerajaan dan pihak media yang terbabit sepanjang musim MTL 2023/2024.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang terbabit termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin.
Berucap pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak media memberikan liputan yang amat baik ketika negara sedang mendepani bencana itu.
"Saya akan rasa bersalah kalau tidak berterima kasih kepada petugas media yang memberikan liputan amat-amat baik.
"Rupa-rupanya apabila kita menghadapi masalah bencana, tidak ada lontaran dan pandangan negatif yang dipalingkan kepada kita, ertinya kita sebagai rakyat Malaysia dan mereka sebagai pengamal media di negara ini tidak bergelut pendapat. Ini cukup membanggakan atas kerjasama pihak-pihak media," katanya.
Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan peranan agensi penguatkuasa, agensi tindak balas, agensi teknikal, syarikat telekomunikasi, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan yang turut sama berganding bahu semasa MTL. – BERNAMA