Mampu bertahan 55 hari jer...
- Admin UKK
- Berita
Paras air di Empangan Sembrong, Bekok dan Machap menghampiri paras kritikal malah ketiga-tiganya dianggarkan mampu bertahan sehingga 55 hari saja, iaitu sehingga 30 April ini, seandainya hujan tidak melanda.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, situasi itu berlaku ekoran cuaca panas yang melanda sejak bulan lalu.
“Bagaimanapun, paras air 13 empangan lain di Johor masih berada pada tahap terkawal dan langkah penggunaan air secara optimum sudah diaktifkan.
“Ketika ini, kita sedang memantau keadaan semasa di empangan berkaitan dan akan menunggu sehingga akhir bulan ini untuk melihat purata hujan.
“Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jika sehingga 30 April ini hujan tidak melanda di kawasan empangan terbabit, kita jangkakan ada tempoh 55 hari lagi untuk ia digunakan.
“Ada cadangan pembenihan awan, tetapi peratusan berjaya itu kurang kerana ia tidak dapat dikawal (hujan melanda) di empangan. Buat masa ini, belum ada cadangan catuan dan sebagainya,” katanya selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor di sini, semalam.
Menurut Mohamad Fazli, pihaknya sudah mengenal pasti 150 lokasi membabitkan 70 ‘District Metered Area’ (DMA) untuk dipantau bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan air semasa perayaan Aidilfitri.
Katanya, langkah awal menerusi kaedah pengolahan air dimulakan awal dan ia dijangka dapat menyelesaikan isu di 80 peratus lokasi terbabit.
“Kita sudah buat pengolahan sistem kerana ketika hari raya, permintaan berbeza yang mana permintaan (penggunaan air) di kawasan bandar dan kilang berkurangan.
“Kita sudah sediakan langkah perlu untuk atasi
“Pantau empangan dan tunggu hingga akhir bulan lihat purata hujan Mohamad Fazli
gangguan bekalan air, tetapi mungkin ada yang di luar kawalan seperti paip pecah.
“Untuk isu gangguan air di beberapa lokasi seperti di Kempas, disebabkan kekeruhan air di Sungai, jadi proses rawatan air jadi rumit dan ambil masa tetapi kami sudah buat rancangan sokongan dan Insya-Allah, ia akan selesai dalam tempoh tiga hari,” katanya lagi.