Presiden Prabowo pastikan percepatan pengurusan bencana banjir, tanah runtuh di Sumatera
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA, 2 Dis: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto meninjau secara langsung keadaan pasca bencana banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat di tiga provinsi di Sumatera iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Berdasarkan laporan Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) bencana yang melanda telah meragut 631 nyawa setakat ini, manakala 472 lagi masih hilang, termasuk empat warganegara Malaysia yang dipercayai berada di kawasan terjejas ketika kejadian berlaku.
Dalam lawatannya, Presiden Prabowo menegaskan bahawa pemerintah memfokuskan sepenuhnya kepada percepatan distribusi bantuan kritikal, khususnya logistik dan bahan bakar minyak (BBM) ke kawasan-kawasan yang terputus hubungan.
“Prioriti kita ialah menghantar bantuan yang paling diperlukan secepat mungkin, terutama logistik dan BBM yang amat penting sebab ada beberapa desa yang terisolasi, Insya-Allah kita dapat tembus dalam waktu terdekat,” ujar Prabowo.
Beliau turut memberi jaminan bahawa usaha pemulihan bekalan elektrik sedang dipertingkatkan dan akan dipulihkan secara berperingkat.
Dalam pada itu beliau mendedahkan pihaknya terus berdepan dengan cabaran di lapangan, Prabowo menjelaskan bahawa pembukaan akses dan distribus bantuan menuju kawasan bencana sedang dilaksanakan melalui gabungan operasi darat, udara dan laut bagi memastikan masyarakat tidak terputus bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Kerajaan Indonesia setakat ini terus mengerahkan kekuatan nasional secara maksimum bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan lancar serta keperluan asas mangsa bencana dapat dipenuhi dalam waktu terdekat.-TVS
BINTANGOR, 2 Dis: Kawasan berisiko banjir di sekitar daerah ini kini dalam pemantauan rapi susulan peningkatan paras air sungai dan fenomena air pasang besar yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Sekurang-kurangnya empat kawasan di Bintangor dikenal pasti terdedah kepada risiko banjir, terutama ketika hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras air sungai mudah melimpah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, kawasan terbabit ialah Kampung Abang Ali, Meradong; Nanga Stras, Lemayong Julau; Kampung Rambutan Pakan dan Sungai Julau.
Menurut beliau, walaupun tiada laporan kemalangan jiwa diterima setakat ini, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan peka terhadap perubahan cuaca.
“Keadaan masih terkawal, namun Bomba mengesan peningkatan paras air berpunca daripada air pasang dan hujan lebat yang berlaku sejak semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi daerah Julau, kawasan rendah berhampiran pekan dan pasar turut berisiko dinaiki air, manakala empat lagi lokasi dikenal pasti berada dalam kawasan Pakan.
Jelasnya, kesemua kawasan tersebut mudah dinaiki air apabila taburan hujan berlaku secara lebat dan berlarutan melebihi dua hari.
“Walaupun Sarawak kini berada dalam fasa monsun timur laut, cuaca yang tidak menentu menuntut semua pihak agar sentiasa berwaspada,” katanya.
Menurutnya lagi, selain risiko banjir, perubahan cuaca turut berpotensi membawa masuk haiwan berbisa seperti ular ke kawasan penempatan, justeru keselamatan perlu sentiasa diutamakan. – TVS
Operasi cari rakyat Malaysia hilang dalam tanah runtuh di Sumatera Barat masih diteruskan - Duta
- Admin UKK
- Berita
MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang rakyat Malaysia yang hilang dipercayai terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia pada 27 November lalu, masih diteruskan sehingga kini.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, berkata operasi itu dilaksanakan pasukan keselamatan Indonesia di wilayah terbabit sejak mangsa, Asrul Nizam Apridwson, dilaporkan hilang.
"Operasi mencari masih diteruskan dan sehingga kini masih belum ada perkhabaran mangsa ditemui," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tragedi banjir besar melanda Padang Panjang mengakibatkan beberapa kenderaan termasuk dinaiki Asrul Nizam bersama ahli keluarganya dihanyutkan.
Kelmarin, Kementerian Luar mengesahkan mangsa hilang dalam tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan akan terus berhubung dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia, Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sumatera Barat, serta polis tempatan (Polres Padang Panjang) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi SAR.
Mangsa banjir Aceh rayu bantuan Anwar
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA – Satu hantaran tular di media sosial Indonesia memaparkan penduduk Gayo, Aceh memohon bantuan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada pemerintah selepas banjir besar melanda wilayah itu, lapor laman berita Harian Disway kelmarin.
Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Instagram Sabtu lalu, pengumuman dibuat atas nama Relawan Pemuda Gayo itu memberitahu bahawa mereka tidak menerima bantuan selama lima hari.
“Kami, penduduk Gayo memohon bantuan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penduduk kelaparan, sudah lima hari tidak ada bantuan,” kata hantaran tersebut.
“@anwaribrahim_my Tolong kami warga Aceh Tengah, Bener Meriah, Gayo Lues. Kami terputus hubungan, belum ada bantuan di kampung-kampung terpencil,” tambah hantaran tersebut.
Video itu menjadi tular, dengan pengguna media sosial menyatakan bahawa pemerintah Indonesia tidak menangani bencana itu dengan bersungguh-sungguh.
Sehari selepas hantaran itu dikongsikan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) dilaporkan berusaha untuk sampai ke lokasi yang terjejas akibat banjir di Aceh melalui jalan laut bagi menghantar bantuan logistik dan peralatan kepada penduduk. – AGENSI
Jangan masuk Hatyai sampai tahun depan
- Admin UKK
- Berita
PADANG BESAR – Industri pelancongan Thailand dijangka pulih sepenuhnya pada hujung Januari tahun depan selepas sebahagian besar bandar itu ditenggelami banjir besar baru-baru ini.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-ASEAN, Aida Oujeh berkata, pendapatan industri pelancongan di bandar terbesar di selatan Thailand itu juga diunjur mengalami kemerosotan antara 30 hingga 40 juta Thai Baht (THB) (RM3.9 juta – RM5.2 juta) bulan ini.
Janaan pendapatan daripada kehadiran pelancong dijangka merudum kerana kebanyakan infrastruktur pelancongan mengalami kerosakan dan mengambil masa untuk dibaik pulih.
Hatyai merupakan destinasi popular rakyat Malaysia yang berkunjung ke selatan negara Gajah Putih itu saban tahun, terutama ketika cuti hujung tahun dan sambutan tahun baharu.
Terdapat sesetengah lokasi di Hatyai ditenggelami air sehingga 15 meter dan menyebabkan kerosakan teruk kepada hotel yang menjadi penginapan pelancong.
Menurut Aida, selain pembersihan, kerajaan Thailand pada masa sama sedang menjalankan operasi kawalan kesihatan persekitaran bagi membendung penyakit pasca banjir.
“Kaedah itu kawalan itu antara lain adalah usaha awal kerajaan Thailand walaupun tidak lagi kedengaran wabak akibat bawaan bencana banjir kali ini.
“Mengenai jumlah sebenar kerugian harta benda terutamanya kemudahan pelancongan, ia masih lagi dalam penilaian. Namun dianggarkan sekurang-kurangnya mencecah 100 juta THB (RM12.9 juta) nilai kerosakan akibat banjir pada kali ini,” ujarnya.
Katanya, banjir besar biasanya melanda Hatyai 10 tahun sekali. Ujarnya, bandar Hatyai kali ini betul-betul ‘dicuci’ bersih dan mungkin ada hikmah di sebalik bencana yang berlaku.
Tambah Aida, beliau berharap industri pelancongan Thailand dan Malaysia khususnya di kawasan terjejas banjir kembali pulih secepat mungkin dan pengusaha pelancongan perlu tabah menghadapi ujian ini.
