PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir: Penduduk mahu pusat pemindahan kekal

TEMERLOH: Penduduk Kampung Batu Kapor, Mentakab memohon kerajaan mempertimbang pembinaan Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) bagi menampung penempatan penduduk yang terpaksa berpindah saban tahun akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu Kapor, Mohd. Marizi Sohaimi berkata, setiap kali musim tengkujuh, penduduk di situ seolah-olah sudah ‘wajib’ berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan atau Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor.

Katanya, dua PPS itu sudah menjadi seperti rumah kedua bagi sebahagian besar penduduk sejak puluhan tahun lalu kerana hanya di situlah lokasi yang benar-benar bebas banjir dan selamat didiami ketika air Sungai Semantan melimpah.

“Banjir bukan perkara baharu bagi kami. Setiap kali monsun, hati jadi berdebar. Sebab itulah kami berharap sangat sebuah PPBK yang lebih tersusun, selesa dan lengkap dibina di kawasan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Marizi, JPKK Batu Kapor sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir hasil mesyuarat khas bulan lalu yang membabitkan pelbagai agensi berkaitan.

“Lebih 300 ketua keluarga sudah diminta peka dengan laporan cuaca dan maklumat rasmi kerajaan, selain memberi kerjasama sekiranya diarahkan berpindah pada bila-bila masa.

“Selain itu, beberapa kumpulan WhatsApp turut ditubuhkan bagi memudahkan laporan berkaitan perkembangan paras air, keadaan jalan dan keperluan penduduk disalurkan dengan pantas kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Menurutnya, selain pembinaan PPBK, penduduk juga berharap kerajaan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Semantan bagi mengurangkan impak limpahan air sungai.

“Bagi penduduk di sini, kesan dan kepayahan yang ditanggung ketika banjir besar pada Disember 2021 dan 2022 serta banjir pada Oktober tahun lalu masih berbekas dan belum pulih sepenuhnya, terutama daripada segi emosi dan kerugian harta benda,” jelasnya.-UTUSAN.

Penduduk Sarawak berdepan hujan lebat

PETALING JAYA – Penduduk di Sarawak dijangka berdepan cuaca buruk sehingga pukul 10 pagi ini.

Menerusi laporan cuaca Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang dilaporkan melanda Sri Aman (Lubok Antu), Sarikei (Julau) dan Kapit (Song) ketika ini.

Maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau platform media sosial rasmi jabatan. –KOSMO! ONLINE

Minta pihak berwajib fikir cara selesaikan masalah banjir

Saudara Pengarang,

Sebagaimana yang kita sedia maklum, baru-baru ini beberapa tempat di sembilan negeri dilanda banjir ekoran musim Monsun Timur Laut (MTL) melanda negara bermula 13 November lalu hingga Mac tahun depan.

Kampung Labu Lanjut, Sepang, Selangor turut terjejas selepas beberapa taman perumahan yang terletak di kawasan rendah terutamanya berdekatan sungai dinaiki air.

Banjir kali ini adalah yang terburuk selepas empat tahun saya tinggal di salah satu taman perumahan di kawasan berkenaan dengan air naik mendadak pada paras pinggang selepas hujan tidak berhenti selama sehari.

Rasanya perit untuk menghadapi banjir setiap tahun, terpaksa berkorban masa dan wang ringgit disebabkan setiap kali bah, pasti ada barangan termasuk barang yang rosak dimasuki air, selain terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Itu tidak dikira untuk kos dan kepenatan membersihkan rumah selepas banjir. Biarpun begitu, saya dan penduduk yang terkesan dengan musibah banjir terpaksa reda dengan apa yang berlaku.

Cuma, saya berharap agar pihak-pihak berkenaan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat merancang sesuatu yang boleh menghindarkan kejadian banjir pada masa-masa akan datang atau sekurang-kurangnya tidak seteruk sekarang.

Juga kepada wakil rakyat di kawasan tersebut bolehlah berjumpa dengan agensi-agensi terlibat untuk mengajukan permasalahan rakyat marhain berkaitan banjir dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.

Ini kerana, setiap tahun cerita sama akan terus berlegar-legar di media sosial tentang masalah penduduk yang terpaksa berserah kepada takdir ‘menanti’ rumah mereka dinaiki air.

Setiap kali hujan lebat, hati penduduk di kawasan berkenaan berdebar-debar dan hanya mampu berdoa agar tidak berlaku banjir kerana ini akan membawa episod duka tak berpenghujung.

Yang berharap
Sepang, Selangor

Banjir makin pulih, hanya lebih 900 masih di PPS

KUALA LUMPUR: Seramai 991 mangsa banjir daripada 259 keluarga masih berlindung di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tujuh negeri, setakat jam 1 pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 1,539 mangsa yang direkodkan pagi semalam.

Sebanyak tujuh PPS masih beroperasi di Perak, manakala empat lagi di Terengganu, diikuti Selangor dan Sarawak masing-masing dua serta Kelantan, Pahang dan Sabah masing-masing satu.

Keseluruhan mangsa banjir membabitkan 329 lelaki dan 309 perempuan, manakala 329 kanak-kanak, 24 bayi, 124 warga emas dan 25 orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri hingga 9 pagi ini.

 

Menurut kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melanda di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak (Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak) dan Sarawak: Kapit (Belaga) dan Miri (Telang Usan).

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.

 

80 peratus penduduk Hat Yai pulang ke rumah apabila banjir surut, lebih 8,000 kereta ditemui tenggelam

BANGKOK: Hat Yai kini memasuki fasa pemulihan serta pembersihan sepenuhnya selepas sembilan hari bandar itu dilanda banjir besar.

Sekitar 80 peratus penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing bagi menilai kerosakan, manakala sebahagian lagi masih berada di pusat pemindahan sementara yang disediakan pihak berkuasa wilayah.

Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, mengarahkan semua barang rosak dan sisa banjir dibuang segera, dengan menyasarkan penduduk harus pulang ke rumah masing-masing dalam tempoh tujuh hari, manakala kerja pembersihan Hat Yai perlu disiapkan dalam tempoh 14 hari.

Tinjauan wartawan di pusat pemindahan Universiti Prince of Songkla (PSU) mendapati lebih 10,000 mangsa pernah ditempatkan di situ sebelum ini.

Setakat semalam, sebahagian penduduk masih berada di pusat berkenaan, namun kebanyakan sudah mula pulang kerana pusat pemindahan itu akan memindahkan mangsa ke lokasi baharu di Ban Phru – Wat Thep Chum Num.

 

Semalam, dapat dilihat kebanyakan mangsa sudah bersiap dan menikmati sarapan sambil menunggu ahli keluarga menjemput mereka pulang.

Ada penduduk yang meluahkan rasa bimbang di mana mereka akan tidur kerana kediaman masih belum dibersihkan.

Ada juga yang mendapati rumah mereka sudah musnah sepenuhnya, hanya tinggal rangka.

Seorang warga emas berusia 79 tahun yang perlu pulang hari ini memberitahu wartawan bahawa rumahnya musnah sama sekali dan hanya tinggal struktur.

Dalam nada sebak beliau berkata: "Saya tak tahu bagaimana nak teruskan lagi. Saya sudah tua… tahun ini paling teruk. Rumah saya… tinggal rangka saja."

Hat Yai adalah daerah paling teruk terjejas, membabitkan lebih 226,000 isi rumah dan 406,823 penduduk.

Pejabat Wilayah Songkhla melaporkan perkembangan pemulihan infrastruktur membabitkan elektrik dengan lebih 176,000 akaun terjejas dan daripada jumlah itu lebih 90 peratus sudah dipulihkan.

Selain itu ia turut membabitkan bekalan air bersih yang 60 peratus sudah pulih serta pengagihan air bersih diteruskan di kawasan yang belum dapat menghasilkan bekalan.

Masalah telekomunikasi iaitu sekitar 85 peratus rangkaian dipulihkan; pertanian kerana puluhan ribu tanaman rosak serta kenderaan yang kini lebih 8,000 kereta ditemui tenggelam dan pihak berkuasa masih membuat tinjauan bagi bantuan pampasan.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search