PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pulau Pinang pulih, tujuh negeri masih terjejas

Pulau Pinang pulih, tujuh negeri masih terjejas

Kuala Lumpur: Banjir di Pulau Pinang pulih sepenuhnya, namun tujuh negeri masih terjejas dengan Kelantan, Kedah, Perlis, Perak dan Terengganu terus mencatatkan pertambahan jumlah mangsa.

Mangsa banjir di Selangor menunjukkan sedikit penurunan dan keadaan di Pahang kekal tidak berubah setakat 6 petang semalam.

Di Pulau Pinang, pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir di daerah Seberang Perai Tengah ditutup jam 11 pagi semalam selepas semua lapan mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masingmasing.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 10,580 orang daripada 4,024 keluarga berbanding 9,615 pada pagi semalam yang ditempatkan di 61 PPS di sembilan jajahan terjejas iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Berdasarkan laman web Infopublic Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di beberapa sungai utama di Kelantan terus menunjukkan peningkatan dengan beberapa stesen merekodkan bacaan melepasi tahap amaran dan bahaya setakat 3 petang.

Paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang meningkat kepada 9.31 meter (m), melepasi tahap bahaya 9m, manakala paras air Kampung Jenob berada pada 23.67m, melepasi tahap bahaya 23.50m.

Turut mencatatkan peningkatan ialah Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang yang merekodkan 59.66m, melepasi tahap bahaya 59m, dengan trend menaik.

Di Perlis, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,593 orang dengan penambahan satu lagi PPS setakat jam 6 petang, berbanding 6,087 mangsa yang ditempatkan di 20 PPS pada pagi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis memaklumkan kawasan banjir membabitkan Padang Besar, Arau dan Kangar.

Di Perak, jumlah mangsa banjir di lapan daerah di negeri itu meningkat kepada 4,700 orang daripada 1,514 keluarga berbanding 4,345 orang pada pagi kelmarin yang berlindung di 44 PPS.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,339 orang daripada 1,148 keluarga setakat jam 6 petang berbanding 3,049 orang pada pagi dengan Pokok Sena menjadi daerah baharu terjejas akibat bencana itu.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan jumlah mangsa dari daerah itu yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Pokok Sena masih dalam bancian, manakala daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi membabitkan 2,357 orang dan Kota Setar (878).

Laman web Infopublic Banjir JPS memaklumkan sembilan sungai di Kedah melepasi tahap bahaya, antaranya Sungai Anak Bukit dengan 3.37m, Sungai Padang Terap (4.55m), Sungai Bata (11.106m), Wang Tepus (10.195m) dan Sungai Baru (2.018m).

Di Terengganu, mangsa banjir ialah 2,416 orang daripada 749 keluarga petang semalam. Sebanyak tiga sungai di negeri itu berada pada paras bahaya iaitu Sungai Setiu dan Sungai Chalok di Setiu serta Sungai Besut di Besut. BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search