11,055 mangsa banjir di Kelantan ditempatkan di 66 PPS
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Seramai 11,055 mangsa banjir di Kelantan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga malam ini, susulan bencana yang melanda negeri itu sejak 22 November lalu.
Menurut data terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 7.15 malam tadi, seramai 11,055 mangsa daripada 4,187 keluarga ditempatkan di 66 buah PPS yang dibuka di seluruh negeri.
Banjir yang mula melanda Kelantan menyaksikan PPS mula dibuka seawal 21 November di Bachok, manakala di Tumpat dan Kota Bharu, PPS mula dibuka pada 22 November.
Pembukaan PPS juga direkodkan di Machang dan Tanah Merah hari ini. Secara keseluruhan, 66 PPS telah dibuka di sembilan daerah di Kelantan. Daerah Tumpat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,671 orang, diikuti Kota Bharu seramai 2,492 mangsa, dan Bachok dengan 2,063 mangsa.
Mangsa-mangsa banjir lain yang dipindahkan termasuk di Machang seramai 769 orang, 275 mangsa di Tanah Merah, 121 di Gua Musang dan Pasir Mas mencatatkan 61 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 3,628 kanak-kanak, 1045 warga emas dan 430 orang kurang upaya.
Beberapa PPS di Kota Bharu menunjukkan jumlah mangsa melebihi kapasiti termasuk Sekolah Kebangsaan Sering dengan kadar 155.67 peratus dan Sekolah Kebangsaan Sabak dengan 198.5 peratus.
