SELEPAS seminggu banjir berskala besar melanda Semenanjung, khususnya di Kelantan dan Terengganu, keadaan bah semalam dilaporkan mula surut dan reda termasuk di Kedah, Perak, Pahang, Melaka dan Johor.
Di sebalik bencana banjir ini yang menyaksikan sekitar 150,000 mangsa terjejas dan air mata mengiringi kehadiran bencana alam ini, tetap terselit kisah manis dan inspirasi mungkin tidak disedari masyarakat.
Betapa banjir melanda ini sebenarnya menjadi pengikat menyatukan manusia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang dan warna kulit menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Ternyata, rasa kemanusiaan dan pengorbanan tinggi sering menjelma dalam kalangan rakyat Malaysia yang prihatin dan penuh perikemanusiaan membantu golongan ditimpa bencana.
Ini mencerminkan nilai sejagat melampaui perbezaan antara rakyat membantu mereka yang mungkin tidak dikenali, jauh sekali mempunyai pertalian darah dan keluarga.
Banyak individu, organisasi, pertubuhan dan entiti persendirian menggerakkan inisiatif mengumpulkan barang keperluan seperti makanan, pakaian dan kelengkapan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Lebih penting lagi, usaha dan semangat kumpulan 'kuasa ketiga' ini tidak dihebahkan kepada awam, sebaliknya memilih bergerak sendirian, namun ternyata menyumbang ke arah menjaga kebajikan dan keselamatan mangsa banjir.
Banjir adalah bencana tidak mengenal bangsa, agama atau ideologi politik, maka menjadi kewajipan kepada semua mengenepikan perbezaan dan menumpukan usaha membantu mereka memerlukan.
Pada masa sama, kita tidak harus menafikan tanggungjawab, peranan dan kerja keras dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyelaras operasi mengurus dan menyelamat mangsa banjir.
Apa yang jelas, kerjasama antara individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat menghasilkan impak lebih besar membantu serta mengurangkan kelesuan perlu ditanggung agensi kerajaan.
Peranan kerajaan, pihak swasta dan sukarelawan ternyata mampu menyatukan operasi membantu mangsa banjir sama ada secara fizikal, kewangan dan sokongan moral.
Atas faktor ini, amat penting kisah tersembunyi 'orang baik-baik' ini membantu mangsa banjir dihebahkan sebagai isyarat sentimen politik, perkauman dan keagamaan diletak ke tepi ketika negara menghadapi bencana alam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mahu cerita rakyat berbilang kaum dan agama bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dihebahkan, bagi menonjolkan semangat perpaduan unik negara ini.
Dengan semangat perpaduan ini, bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan dengan lebih efisien dan penuh keikhlasan, mengukuhkan lagi nilai kemanusiaan dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia.
Pemimpin politik dan komuniti juga perlu menunjukkan contoh teladan dengan mengenepikan perbezaan politik ketika membantu mangsa, sekali gus menyemarakkan semangat bersatu antara rakyat.
Karektor perikemanusiaan berteraskan 'cara Malaysia' ini harus diperkukuhkan bukan saja ketika negara dilanda musibah, bahkan dalam apa juga situasi demi kesejahteraan bersama.
KOTA BHARU: Situasi banjir di tujuh negeri termasuk Pantai Timur makin reda dengan bilangan mangsa banjir keseluruhan berkurangan kepada 50,765 orang daripada 15,559 keluarga di 186 pusat pemindahan banjir (PPS) setakat jam 7.30 pagi ini.
Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 35,075 mangsa membabitkan 11,152 keluarga itu ditempatkan di 88 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.
Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga kini daerah yang masih dilanda banjir adalah Pasir Mas merekodkan 15,491 mangsa diikuti Tumpat 19,140 mangsa, Kota Bharu membabitkan 403 mangsa dan Bachok hanya 41 mangsa.
Di Terengganu, tujuh daerah masih dilanda banjir membabitkan 8, 305 orang daripada 2,117 keluarga di 41 PPS manakala di Kedah 5,976 orang daripada 1,883 keluarga di 27 PPS di tiga daerah.
Di Johor pula, 1,033 mangsa banjir daripada 296 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS di dua daerah sementara di Perak, dua daerah dilanda banjir dengan 165 orang daripada 58 keluarga di enam PPS.
Sementara itu, keadaan banjir di Melaka juga semakin pulih dengan hanya satu daerah yang terjejas membabitkan 160 orang daripada 41 keluarga di dua PPS manakala di Pahang empat PPS masih dibuka di tiga daerah dengan 51 mangsa daripada 12 keluarga.
KUALA LUMPUR - Sebanyak 470 premis institusi pendidikan telah dioperasikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sejak bermula Monsun Timur Laut (MTL) pada 5 November lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu melibatkan 392 sekolah rendah, 77 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional.
"Tiga negeri tertinggi yang mempunyai sekolah dijadikan PPS adalah Kelantan iaitu 240 sekolah, Terengganu dengan 137 sekolah dan Kedah sebanyak 51 sekolah.
"Sehingga jam 8 pagi 5 Disember 2024, terdapat 117 sekolah yang masih beroperasi sebagai PPS melibatkan 93 sekolah rendah dan 24 sekolah menengah," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, setakat ini seramai 7,212 murid masih berada di PPS premis sekolah dengan Kelantan merekodkan 5,305 murid, Terengganu (1,090) Kedah (767), Melaka (30), Johor (18) dan Perak (2).
Justeru, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) menggerakkan 'Smart Support Team' (SST) dan 'Academic Support Team' (AST) di PPS.
"SST terdiri daripada sukarelawan guru bimbingan dan kaunseling yang berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid terkesan dengan situasi banjir.
"AST pula membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS dan KPM sentiasa memantau dari semasa ke semasa fenomena banjir demi menjaga kebajikan dan keselamatan mereka," ujarnya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan daripada Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai cadangan mengadakan sesi kedua peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Fadhlina menjelaskan, pelajar telah diberi kelonggaran untuk mengikuti mana-mana sesi pilihan mengikut kesesuaian.
"Sejak Isnin lalu hingga hari ini, pelajar yang terlibat dengan ujian bertutur (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) tidak berdepan masalah untuk menghadirkan diri ke mana-mana sesi (ujian) yang disediakan.
"Untuk persiapan peringkat KPM, kita telah mengambil kira semua keadaan termasuk sekiranya ujian bertulis akan datang berdasarkan pengaktifan Op Payung," ujarnya.
Gempa bumi lemah dikesan di Tawau
- Admin UKK
- Berita
Kota Kinabalu: Gempa bumi lemah bermagnitud 2.7 dikesan di sekitar Tawau pada 4.54 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gempa itu terletak 4.5 darjah utara dan 118.1 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer (km), iaitu sekitar 17 km dari pusat bandar Tawau.
"Gegaran dirasai di sekitar Tawau," menurut kenyataan itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku akibat gempa bumi itu.
Sementara itu di Tawau, seorang peniaga Anna Benjamin, 63, berkata, gegaran dapat dirasai oleh dia sekeluarga yang berada di kawasan Tanjung Batu Laut, ketika waktu subuh tadi.
"Tidak lama (bergegar) dalam lima saat begitu. Tiada apa-apa yang rosak bila saya dan keluarga periksa. Doakan kami semua di Tawau selamat," katanya.
Pemilik kedai makan Asmah Anit, 48, berkata, dia dapat merasakan gegaran itu kira-kira lima saat di rumahnya di Taman Ria Height.
"Rumah saya atas bukit, ada rasa macam kena goncang jugalah pada subuh tadi. Anak saya pun ada rasa juga," katanya.
Pekerja am, Mohd Izhan Hassan, 32, berkata, dia merasakan gegaran kira-kira dua hingga tiga saat ketika berada di kawasan Kolej Vokasional Tawau pada waktu sama.
'Bukan sengaja tak mahu pindah'
- Admin UKK
- Berita
Tumpat: Bukan sengaja enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tapi sebaliknya ingin menjaga kediaman daripada dipecah masuk pencuri.
Disebabkan itu, sekurang-kurangnya seorang daripada ahli keluarga perlu berada di rumah, meskipun rumah ditenggelami air.
Itu dakwaan segelintir ahli keluarga kepada mangsa banjir di sini yang tidak berpindah ke PPS.
Bagi Abdullah Awang Besar, 67, ketika banjir gelombang pertama lalu, semua ahli keluarganya berpindah ke PPS kerana air mula memasuki dalam rumah.
"Hanya saya sahaja tidak berpindah kerana menjaga rumah daripada dipecah masuk pencuri yang sentiasa mengintai peluang sepanjang musim banjir.
"Air masuk ke dalam rumah sehingga satu meter (m) dan selama lima malam saya tidur di dalam bot yang diletakkan dalam rumah kerana tiada sudah tiada tempat yang tidak terjejas dengan air.
"Boleh dikatakan setiap ketua rumah yang kediaman mereka dinaiki air tidak akan turut sama berpindah dengan keluarga kerana ingin menjaga keselamatan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kajang Sebidang, di sini.
Dia berkata, kejadian pecah masuk rumah ketika ketiadaan penghuni sering berlaku pada musim banjir, dan tidak ramai yang tampil membuat laporan polis terutama jika ia membabitkan kerugian yang tidak seberapa.
Walaupun dalam keadaan bergelap kerana sehingga kini bekalan elektrik masih belum tiada, Abdullah tidak menganggap itu perkara besar.
Namun, dalam hatinya, ada terdetik kebimbangan jika ada haiwan berbisa yang datang ketika dia tidur.
Menurutnya lagi, dari segi makan minum, dia akan mengalas perut dengan apa yang ada kerana sudah ada bantuan yang tiba.
Katanya, jika tidak, dia akan menghidupkan bot menuju ke kedai terdekat.
Sejak tiga hari lalu, paras air sudah semakin menyusut namun di perkarangan rumah Abdullah, air masih lagi bergenang pada paras 0.8 m.
