PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

'Bukan sengaja tak mahu pindah'

'Bukan sengaja tak mahu pindah'

Tumpat: Bukan sengaja enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tapi sebaliknya ingin menjaga kediaman daripada dipecah masuk pencuri.

Disebabkan itu, sekurang-kurangnya seorang daripada ahli keluarga perlu berada di rumah, meskipun rumah ditenggelami air.

Itu dakwaan segelintir ahli keluarga kepada mangsa banjir di sini yang tidak berpindah ke PPS.

Bagi Abdullah Awang Besar, 67, ketika banjir gelombang pertama lalu, semua ahli keluarganya berpindah ke PPS kerana air mula memasuki dalam rumah.

"Hanya saya sahaja tidak berpindah kerana menjaga rumah daripada dipecah masuk pencuri yang sentiasa mengintai peluang sepanjang musim banjir.

"Air masuk ke dalam rumah sehingga satu meter (m) dan selama lima malam saya tidur di dalam bot yang diletakkan dalam rumah kerana tiada sudah tiada tempat yang tidak terjejas dengan air.

"Boleh dikatakan setiap ketua rumah yang kediaman mereka dinaiki air tidak akan turut sama berpindah dengan keluarga kerana ingin menjaga keselamatan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kajang Sebidang, di sini.

Dia berkata, kejadian pecah masuk rumah ketika ketiadaan penghuni sering berlaku pada musim banjir, dan tidak ramai yang tampil membuat laporan polis terutama jika ia membabitkan kerugian yang tidak seberapa.

Walaupun dalam keadaan bergelap kerana sehingga kini bekalan elektrik masih belum tiada, Abdullah tidak menganggap itu perkara besar.

Namun, dalam hatinya, ada terdetik kebimbangan jika ada haiwan berbisa yang datang ketika dia tidur.

Menurutnya lagi, dari segi makan minum, dia akan mengalas perut dengan apa yang ada kerana sudah ada bantuan yang tiba.

Katanya, jika tidak, dia akan menghidupkan bot menuju ke kedai terdekat.

Sejak tiga hari lalu, paras air sudah semakin menyusut namun di perkarangan rumah Abdullah, air masih lagi bergenang pada paras 0.8 m.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search