Perikemanusiaan cara Malaysia ketepi perbezaan bantu mangsa bah
- Admin UKK
- Berita
SELEPAS seminggu banjir berskala besar melanda Semenanjung, khususnya di Kelantan dan Terengganu, keadaan bah semalam dilaporkan mula surut dan reda termasuk di Kedah, Perak, Pahang, Melaka dan Johor.
Di sebalik bencana banjir ini yang menyaksikan sekitar 150,000 mangsa terjejas dan air mata mengiringi kehadiran bencana alam ini, tetap terselit kisah manis dan inspirasi mungkin tidak disedari masyarakat.
Betapa banjir melanda ini sebenarnya menjadi pengikat menyatukan manusia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang dan warna kulit menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Ternyata, rasa kemanusiaan dan pengorbanan tinggi sering menjelma dalam kalangan rakyat Malaysia yang prihatin dan penuh perikemanusiaan membantu golongan ditimpa bencana.
Ini mencerminkan nilai sejagat melampaui perbezaan antara rakyat membantu mereka yang mungkin tidak dikenali, jauh sekali mempunyai pertalian darah dan keluarga.
Banyak individu, organisasi, pertubuhan dan entiti persendirian menggerakkan inisiatif mengumpulkan barang keperluan seperti makanan, pakaian dan kelengkapan harian untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Lebih penting lagi, usaha dan semangat kumpulan 'kuasa ketiga' ini tidak dihebahkan kepada awam, sebaliknya memilih bergerak sendirian, namun ternyata menyumbang ke arah menjaga kebajikan dan keselamatan mangsa banjir.
Banjir adalah bencana tidak mengenal bangsa, agama atau ideologi politik, maka menjadi kewajipan kepada semua mengenepikan perbezaan dan menumpukan usaha membantu mereka memerlukan.
Pada masa sama, kita tidak harus menafikan tanggungjawab, peranan dan kerja keras dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyelaras operasi mengurus dan menyelamat mangsa banjir.
Apa yang jelas, kerjasama antara individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat menghasilkan impak lebih besar membantu serta mengurangkan kelesuan perlu ditanggung agensi kerajaan.
Peranan kerajaan, pihak swasta dan sukarelawan ternyata mampu menyatukan operasi membantu mangsa banjir sama ada secara fizikal, kewangan dan sokongan moral.
Atas faktor ini, amat penting kisah tersembunyi 'orang baik-baik' ini membantu mangsa banjir dihebahkan sebagai isyarat sentimen politik, perkauman dan keagamaan diletak ke tepi ketika negara menghadapi bencana alam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mahu cerita rakyat berbilang kaum dan agama bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dihebahkan, bagi menonjolkan semangat perpaduan unik negara ini.
Dengan semangat perpaduan ini, bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan dengan lebih efisien dan penuh keikhlasan, mengukuhkan lagi nilai kemanusiaan dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia.
Pemimpin politik dan komuniti juga perlu menunjukkan contoh teladan dengan mengenepikan perbezaan politik ketika membantu mangsa, sekali gus menyemarakkan semangat bersatu antara rakyat.
Karektor perikemanusiaan berteraskan 'cara Malaysia' ini harus diperkukuhkan bukan saja ketika negara dilanda musibah, bahkan dalam apa juga situasi demi kesejahteraan bersama.