Kota Bharu: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengumpul maklumat kerugian dialami premis bangunan atau kediaman akibat banjir.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata setakat ini kementerian itu belum memperoleh statistik kerugian dan masih mengumpul maklumat berkaitan.
“PBT telah diarahkan melihat ruang (bentuk) yang boleh kita bantu melalui KPKT dan kita turut berikan perhatian terhadap mangsa banjir.
“Pasukan kita telah bersiap sedia lebih awal, kesan masuk air ke premis atau kediaman adalah perkara biasa cuma apa-apa kerosakan itu perlu ada rekod yang sahih untuk dinilai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Turun Padang Operasi Monsun Timur Laut Kelantan, di sini semalam.
Sementara itu, Aiman Athirah turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya berwaspada termasuk di Kuala Krai yang dijangka mengalami banjir bermula esok hingga Jumaat ini.
“Orang ramai perlu peka keadaan cuaca semasa dan berpindah lebih awal jika perlu,” katanya. BERNAMA
Butterworth: Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kesiapsiagaan bagi berdepan kemungkinan banjir gelombang kedua, khususnya bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Op Payung.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kementerian sedang membuat segala persiapan bagi menghadapi kemungkinan itu.
“Setakat hari ini saya berpuas hati dengan semua persiapan yang sudah kita laksanakan. Jadi minggu depan, kita ada ujian Amali Sains dan juga diikuti oleh ujian bertutur Bahasa Inggeris.
“Jadi persiapan dalam keadaan sangat baik, Op Payung pun sudah diaktifkan untuk sebarang kejadian atau bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai acara larian Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya di sini, semalam.
Katanya, KPM berjaya menangani banjir gelombang pertama secara tersusun. “Kita juga sudah memperoleh maklumat bilangan sekolah yang terbabit banjir dan kita sedang mengenal pasti kerugian akibat kerosakan,” katanya.
KPM sudah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Op Payung bagi menghadapi Ujian Amali Sains SPM yang dijadualkan berlangsung esok, 10 dan 12 Disember ini.
Langkah itu penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon terjejas. Mengenai kerosakan sekolah akibat banjir, Fahdlina berkata, maklumat berkaitan gelombang pertama sudah diterima.
“Gelombang pertama kita sudah ada bilangannya, cuma sedang dikenal pasti dari segi unjuran kos (kerosakan) yang terbabit. “Pada masa sama, kita juga membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan lain (banjir gelombang kedua),” katanya.
Tak tangguh peperiksaan
DI Alor Setar, Fadhlina berkata, keputusan tidak menangguhkan SPM dibuat selepas mengambil kira tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terbabit dalam menghadapi banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) sehingga Mac tahun depan.
Katanya, ia termasuk persediaan menjaga kebajikan calon SPM agar mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selamat.
Katanya, pada peringkat kementerian, Op Payung akan terus diaktifkan bagi menangani semua isu berkaitan persekolahan, peperiksaan dan juga bencana banjir.
“Persiapan kita ini bukan sahaja soal keselamatan, kebajikan, tetapi secara keseluruhan, termasuk peperiksaan SPM itu. Jadi kita sudah maknanya bersedia melaksanakannya daripada hari pertama peperiksaan tempoh hari.
“Ujian itu akan terus kita pastikan dan pantau dengan ketat untuk memastikan semua anak kita dapat menghadapi peperiksaan dengan selamat dan juga Op Payung ini bersedia setiap masa.
“Kita juga membuat persiapan sekiranya gelombang kedua… gelombang ketiga yang sebagaimana dipersiapkan minda dan emosi kita oleh pihak Metmalaysia untuk berhadapan dengan gelombang-gelombang
selanjutnya,” jelas beliau. Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata agensi berkaitan sudah memulakan kerja penilaian kerosakan infrastruktur awam akibat banjir di setiap negeri.
Katanya, ia bagi memudahkan kementerian untuk menyediakan peruntukan bagi membaiki kerosakan terbabit.
Hujan berterusan sehingga 16 Disember
- Admin UKK
- Berita
Luruan monsun yang sedang berlaku ketika ini dijangka berterusan sehingga 16 Disember ini berdasarkan analisis model cuaca terkini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam memaklumkan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung serta Sabah sepanjang tempoh berkenaan.
“MetMalaysia sudah mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) membabitkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa sehingga 11 Disember ini.
“Manakala, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 12 Disember ini. “Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi Met Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapat maklumat terkini dan sahih,” katanya. Terdahulu, Harian Metro melaporkan hujan lebat berterusan peringkat jingga dijangka berlaku di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga
Kawasan terbabit di timur dan utara Semenanjung serta Sabah esok.
MetMalaysia turut memaklumkan hujan berterusan peringkat kuning di Perlis, Kelantan serta beberapa daerah di Perak, Terengganu, Pahang dan Johor.
Sebelum ini, MetMalaysia melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai kelmarin semalam hingga 14 Disember ini.
Umpama zon perang
- Admin UKK
- Berita
“Kami umpama pasangan pengantin baharu kerana perlu membeli pelbagai barangan kelengkapan rumah,” kata mangsa banjir dari Taman Seri Bayu di sini, dikenali sebagai Amran.
Amran, 41, berkata, dia pulang ke rumah tiga hari lalu selepas sembilan hari berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) dan kerja pembersihan baru selesai 50 peratus.
“Ketika memasuki rumah dua (tiga) hari lalu, saya dan isteri ‘terduduk’ melihat keadaan dalam rumah yang umpama zon perang.
“Tiada apa yang mampu diselamatkan termasuk perabot serta barangan elektrik,” katanya, semalam.
Penjawat awam itu berkata, dia bersyukur kerana kereta dan motosikalnya yang diparkir di tepi Jalan Jubakar Pantai sempat diselamatkan sebelum jalan itu runtuh akibat terjahan arus banjir yang melimpah.
Katanya, dia dan isteri semakin dapat menerima takdir dan menganggap ada hikmah untuk mereka empat beranak.
Amran ditemui bersama kira-kira 700 keluarga lain yang menerima bantuan makanan serta barangan kebersihan daripada Pertubuhan Erat Kasih Alha Alfa (Pekaa).
Penaung Pekaa Datuk Seri Alha Alfa berkata, untuk misi bencana banjir kali ini, pihaknya hadir ke Tumpat seterusnya akan ke Setiu, Terengganu untuk mengagihkan lebih 1,000 kotak makanan termasuk barangan kebersihan kepada mangsa banjir.
“Bantuan sebegini bukan julung kali dibuat, malah setiap tahun, kami terbabit dalam misi kemanusiaan sebegini dan insya-Allah, ia diteruskan pada masa depan,” katanya.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya Kerajaan Pahang dan rakyat negeri ini bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, berikutan ramalan hujan berterusan hingga 11 Disember ini.
Baginda bertitah, semua pihak perlu berhati-hati dan cakna dengan persekitaran, khususnya mereka yang tinggal berdekatan sungai dan tali air memandangkan kawasan itu berisiko banjir.
“Saya dimaklumkan, berdasarkan ramalan cuaca, hujan mungkin berterusan minggu ini.
“Justeru, kita perlu sama-sama berdoa cuaca bertambah baik dan musibah banjir tidak berlaku dengan teruk,” titah baginda selepas berangkat ke Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’Rasa) Daerah Temerloh di Kampung Lada, semalam.
Baginda bertitah, selain harta benda, perkara diutamakan ketika bencana adalah keselamatan nyawa.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada di tujuh negeri termasuk di Pantai Timur yang dijangka melanda hingga esok.
MetMalaysia menerusi kenyataan memaklumkan, keadaan cuaca itu dijangka melanda Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran dan Rompin selain Kemaman dan Dungun di Terengganu.
Seluruh Kelantan dan Perlis pula diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada dalam tempoh masa sama, selain di Hulu Perak, Perak dan Kedah membabitkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.
Turut dijangka mengalami cuaca itu ialah Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang) serta Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi). - Bernama