Kerajaan Johor siap sedia hadapi gelombang ketiga banjir
- Admin UKK
- Berita
KULAI: Kerajaan negeri dibantu agensi penguat kuasa bersiap sedia mendepani segala kemungkinan berlakunya gelombang keempat banjir di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, perkara itu diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor serta di peringkat daerah dari segi gerak kerja dan tindakan yang perlu diambil.
“Sebenarnya di peringkat kerajaan negeri bersama agensi-agensi keselamatan yang terlibat sentiasa bersedia dengan taburan hujan yang mungkin akan lebat.
“Kita harap hujan tidak lebih daripada kuantiti yang tinggi, seperti saya maklumkan sebelum ini kuantiti hujan yang secara normalnya 20 hingga 30 milimeter (mm) sejam tetapi sekarang ni hujan sampai 60mm dan mencecah 70 mm sejam,” katanya selepas mendengar taklimat isu bekalan air yang kerap terputus di Kampung Murni Jaya, di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan amaran hujan berterusan tahap waspada mulai esok hingga Sabtu ini di Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan atau ribut petir dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meminta semua agensi dan jabatan yang terlibat dalam pengurusan bencana banjir supaya bersiap sedia bagi menghadapi gelombang keempat Monsun Timur Laut yang kini beralih ke kawasan selatan.
Situasi banjir di negeri ini hampir pulih apabila hanya 78 mangsa masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat dan Batu Pahat pukul 8 pagi ini. – UTUSAN