PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

RM10 juta diperuntuk baik pulih jalan terjejas banjir di Miri

RM10 juta diperuntuk baik pulih jalan terjejas banjir di Miri

MIRI, 28 Okt: Sebanyak RM10 juta peruntukan khas diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan jalan raya yang terjejas akibat banjir di sekitar Miri, khususnya di kawasan Senadin, Permyjaya dan Riam.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peruntukan itu diperoleh susulan rayuan khas yang dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak berikutan kejadian banjir pada awal tahun ini yang turut menjejaskan keadaan beberapa laluan utama di kawasan berkenaan.

Jelasnya, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada jalan yang mengalami kerosakan serius akibat banjir.

“Peruntukan RM10 juta ini adalah untuk kerja-kerja pemulihan jalan yang terjejas akibat banjir. Tender telah dipanggil dan ditutup pada 13 Oktober lalu. Saya berharap kerja-kerja dapat dimulakan bulan hadapan.

“Masih terdapat beberapa jalan lain yang memerlukan pembaikan dan kerja-kerja penurapan semula akan diteruskan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pada lawatan tapak di Jalan Indah 3, Permyjaya, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, peruntukan khas tambahan sebanyak RM3 juta turut diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan sistem perparitan di kawasan yang sering dilanda banjir, khususnya di kawasan Senadin.

Katanya, Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengenal pasti kawasan berisiko banjir serta keperluan menaik taraf sistem perparitan sedia ada.

“Pihak MBM dan JPS akan bersama-sama meneliti kawasan yang memerlukan penambahbaikan sistem perparitan serta mengenal pasti langkah sewajarnya bagi menangani masalah banjir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penduduk Desa Indah, Permyjaya bakal menikmati kemudahan dua taman rekreasi baharu menerusi peruntukan RM400,000 bagi menyediakan ruang riadah dan aktiviti sosial yang lebih selesa kepada komuniti setempat.

Jelasnya, kedua-dua taman rekreasi itu akan dibina di Lorong Indah 2A dan Lorong Indah 3B, melibatkan kawasan perumahan yang mempunyai kira-kira 3,104 buah rumah.

“Projek berkenaan merangkumi pembinaan trek joging sepanjang 380 meter dengan kelebaran 2.4 meter, tiga pintu masuk serta enam bangku konkrit bertetulang bagi kemudahan pengunjung,” katanya. – TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search