Cukuplah jiran bakar hutan, usah kita bakar sentimen
- Admin UKK
- Berita
Nampaknya Bumi Kenyalang bukan sahaja terasa bahang panas daripada kebakaran hutan di Kalimantan, semalam suhu politik pun meningkat apabila Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa esok, sekali gus membuka satu lagi pintu Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.
Belalang yakin orang politik memang menunggu-nunggu pembubaran ini dan memang sudah lama bersiap sedia, tinggal lagi menunggu gelanggang pilihan raya dibuka secara rasmi. Cuma Belalang harap dalam keghairahan berkempen nanti, janganlah sampai rakyat pula sesak nafas dengan pelbagai janji, tuduhan dan serangan politik. Cukuplah mereka terpaksa menyedut udara berjerebu, jangan ditambah pula dengan kempen yang mengeruhkan keadaan.
Sarawak sendiri bukan kecil, cabaran pembangunan antara bandar dengan pedalaman pun berbeza, manakala etnik pula berbeza-beza. Jadi, bakal calon kenalah tawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukan sekadar pandai mencari salah lawan. Satu Belalang sungguh-sungguh nak pesan, berkempenlah sehangat mana pun, tetapi jangan sampai membakar sentimen yang memecahbelahkan rakyat, cukuplah jiran kita yang membakar hutan.
Belalang tengok macam-macam reaksi warganet kita apabila kerajaan putuskan penjawat awam tak boleh menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi. Ada pula kreatif hasilkan video parodi empat menteri menaiki kereta sampai masuk sungai, malah dikejar lembu gara-gara mengikut aplikasi navigasi baharu.
Belalang faham keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan data. Cuma apabila kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi tempatan seperti TuJu, ia juga menjadi cabaran besar kepada pembangun dalam kalangan kita. Janganlah semata-mata mengharapkan arahan kerajaan untuk mendapatkan durian runtuh dan dalam kes ini, ratusan ribu pengguna dalam satu malam.
Maklumlah, hendak bersaing dengan gergasi teknologi global bukan calang-calang. Aplikasi tempatan kenalah sentiasa dikemas kini, tepat menunjukkan laluan, keadaan trafik dan mampu membawa pengguna ke destinasi dengan cekap. Kalau tidak, orang akhirnya beralih juga kepada aplikasi luar yang lebih mudah dan efisien. Sudahnya nanti kita masih tak dapat minimumkan kebocoran data ke negara asing, manakala aplikasi tempatan berpusing-pusing tak jumpa jalan.
