PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Jerebu dijangka beransur kurang dalam dua minggu -

Jerebu dijangka beransur kurang dalam dua minggu - NRES

KUALA LUMPUR: Jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara sejak 8 Ogos lalu dijangka beransur-ansur berkurangan dalam tempoh dua minggu susulan perubahan corak pergerakan angin.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun sejak 9 Oktober, sebelum monsun timur laut dijangka bermula pada penghujung Oktober.

"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan perubahan keadaan cuaca semata-mata bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap isu jerebu. Mungkin akan berulang lagi.

"Jadi, usaha pencegahan kebakaran ini mesti berlaku di punca. Penguatkuasaan undang-undang mesti domestik serta kerjasama serantau mesti diperkukuh untuk kita akhirnya dapat mengurangkan risiko kejadian yang sama berulang pada masa hadapan," katanya ketika menjawab isu jerebu rentas sempadan dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab isu itu selepas ucap runding oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang menyifatkan jerebu sebagai krisis nasional kerana menjejaskan kesihatan awam, keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selain dibangkitkan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong).

Lee Wuen berkata, jerebu bukan lagi sekadar gangguan bermusim, sebaliknya kecemasan tahunan yang memerlukan tindakan lebih tegas, termasuk penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan serta perkongsian data titik panas dan konsesi secara lebih telus.

Young Syefura pula meminta penjelasan mengenai tindakan diplomatik yang diambil kerajaan terhadap Indonesia, termasuk maklum balas yang diterima dan keberkesanan langkah berkenaan, selain menggesa penguatkuasaan domestik serta perlindungan kepada golongan berisiko diperkukuh.

Menjawab perkara itu, Syed Ibrahim berkata, episod jerebu berpunca daripada peningkatan kejadian kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah Indonesia, termasuk Kalimantan dan Sumatera, yang turut menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan di Malaysia, khususnya Sarawak.

Sebagai langkah mitigasi, kerajaan turut melaksanakan 11 operasi pembenihan awan dari 30 Ogos hingga 15 Oktober dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

"Cabaran utama dalam pelaksanaan undang-undang yang ada elemen merentas sempadan ini ialah keupayaan untuk mendapatkan bukti yang mencukupi untuk menentukan punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Syed Ibrahim berkata, setakat ini kementerian belum menerima maklumat rasmi daripada Kementerian Luar atau Kementerian Perladangan dan Komoditi mengenai pembabitan syarikat Malaysia dalam kejadian pembakaran terbuka di Indonesia. – BERNAMA

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search