3 bank Thailand tutup sementara 113 cawangan akibat banjir
- Admin UKK
- Berita
BANGKOK: Tiga bank utama Thailand menutup sementara 113 cawangan dan pusat perkhidmatan semalam susulan banjir yang menjejaskan Bangkok, kawasan sekitarnya dan beberapa kawasan di timur negara itu.
Kasikornbank (KBank) menutup 25 lokasi, Siam Commercial Bank (SCB) sebanyak 36 cawangan, manakala Government Savings Bank (GSB) menutup 51 cawangan dan satu unit perkhidmatan.
KBank turut mengubah waktu operasi lima cawangan lain di Bangkok yang hanya akan dibuka pada tengah hari. Semua cawangannya yang masih beroperasi di Bangkok, Nonthaburi, Samut Prakan dan Pathum Thani pula akan ditutup pada jam 4 petang.
Sementara itu, SCB menutup 36 cawangan, dengan 34 daripadanya terletak di Bangkok dan kawasan sekitarnya.
Antara cawangan yang ditutup ialah Lotus's Wang Hin, Big C Saphan Khwai, The Mall Ngamwongwan, Central Rattanathibet, Central Ram Inthra, IT Square, Big C On Nut dan The Mall Bangkapi.
SCB memaklumkan pelanggan boleh menggunakan cawangan berdekatan yang masih dibuka atau menjalankan urusan melalui aplikasi SCB EASY, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM).
GSB pula menutup 51 cawangan dan satu unit perkhidmatan, termasuk di Seacon Square, The Nine Rama 9, Central Bangna, Paradise Park, The Mall Bangkapi, Central Ram Inthra, Central Lat Phrao dan Future Park Rangsit.
GSB menyatakan pihaknya prihatin terhadap penduduk yang terjejas akibat banjir dan akan mengumumkan sebarang penutupan tambahan jika diperlukan.
Pelanggan ketiga-tiga bank dinasihatkan menyemak status cawangan dan waktu operasi terlebih dahulu sebelum berkunjung kerana keadaan banjir boleh menyebabkan perubahan operasi. - AGENSI
