Banjir, tanah runtuh ragut 15 nyawa di India, 4 di Nepal
- Admin UKK
- Berita
BHUBANESWAR: Sekurang-kurangnya 19 mangsa maut dan 10 pekerja hilang selepas hujan lebat serta ribut mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di India dan negara jiran, Nepal.
Paras sungai dikedua-dua negara dilaporkan meningkat melebihi tahap bahaya.
Menurut kenyataan pihak berkuasa negeri, di negeri Uttar Pradesh, India, 15 orang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam tempoh 48 jam, sementara 117 rumah rosak.
Hujan lebat dan ribut melanda 63 daerah, dengan negeri itu merekodkan taburan hujan 19 kali ganda daripada paras normal dalam tempoh 24 jam hingga semalam.
Di Nepal, empat orang termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita maut selepas rumah mereka tertimbus dalam tanah runtuh ketika mereka sedang tidur di kampung Nishi Khola, daerah Baglung, kata pegawai kanan pentadbiran daerah, Krishna Prasad Acharya.
Seramai 10 pekerja Nepal turut hilang selepas kem pangkalan di Himlung Himal setinggi 7,126 meter di daerah Manang, utara negara itu, tertimbus akibat runtuhan salji, menurut pegawai pendakian.
Pekerja berkenaan sedang memasang khemah untuk pendaki asing yang belum berada di lokasi ketika runtuhan salji berlaku.
Pihak berkuasa Nepal memberi amaran kemungkinan banjir kilat berlaku di 49 daripada 77 daerah di negara itu, dengan lebih separuh berdepan risiko tinggi banjir atau banjir kilat ketika paras air di sungai utama dan anak sungai terus meningkat.
Jurucakap Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan, Shanti Mahat, berkata Rasuwa dan Nuwakot, yang dilanda banjir maut bulan lalu, perlu terus berwaspada.
Banjir berkenaan mengorbankan lebih 1,450 orang dan menyebabkan ribuan lagi masih hilang.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua kawasan itu ketika ini tidak dikategorikan sebagai berisiko tinggi.
Menteri Sumber Air dan Tenaga Nepal, Biraj Bhakta Shrestha, berkata banjir di Sungai Rahuganga turut merosakkan struktur dan menara talian penghantaran sebuah projek tenaga hidro berkapasiti 40 megawatt.
"Pasukan teknikal sudah digerakkan untuk menilai kerosakan dan memulihkan projek berkenaan," katanya.
Di India, Suruhanjaya Air Pusat berkata 30 stesen pemantauan sungai di tujuh negeri berada dalam keadaan kritikal, dengan paras air antara tanda aras bahaya yang ditetapkan dan paras banjir tertinggi sebelumnya.
Beberapa sungai utama termasuk Ganga, Gandak, Kosi, Bagmati dan Narmada turut mencatatkan paras air melebihi tahap bahaya di stesen pemantauan.
Menteri Komunikasi, Bikram Timilsinha, berkata banjir dan tanah runtuh turut mengganggu perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan di Nepal selepas gentian optik dan bekalan elektrik rosak. - REUTERS
