PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Musim tengkujuh: Rakyat Malaysia melancong Selatan Thai perlu waspada

Musim tengkujuh: Rakyat Malaysia melancong Selatan Thai perlu waspada

NARATHIWAT (THAILAND): Rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Selatan Thai termasuk Hat Yai dalam tempoh tiga bulan akan datang dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti laporan cuaca bagi mengelak terkandas akibat banjir.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, cuaca di beberapa wilayah Selatan Thai pada Oktober, November dan Disember lazimnya agak ekstrem dengan hujan lebat berpotensi menyebabkan banjir besar.

Katanya, rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla dalam tempoh berkenaan perlu mengikuti perkembangan cuaca serta membuat persediaan lebih awal.

“Biasanya Oktober hingga Di­sember adalah musim tengkujuh di Selatan Thai dan Pantai Timur Malaysia. Oleh itu, ikuti laporan cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan. Pejabat Konsul juga akan mengeluarkan laporan cuaca setiap hari.

“Ambil langkah persediaan jika ingin melancong ke Selatan Thai dalam tempoh itu. Ini termasuk memastikan insurans kenderaan merangkumi perlindungan terhadap bencana banjir,” katanya kepada media Malaysia di Sekolah Agama Islam Sirithamwittaya (Pondok Duku), Kampung Duku, Daerah Bacho, di sini, semalam.

Ahmad Fahmi turut meminta semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian banjir besar di Selatan Thai tahun lalu yang menyebabkan kira-kira 7,000 rakyat Malaysia terkandas, termasuk 6,222 orang yang terperangkap di sekitar bandar pelancongan Hat Yai. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search