PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Malaysia perlu beralih daripada mitigasi banjir reaktif kepada pencegahan - Pakar

Malaysia perlu beralih daripada mitigasi banjir reaktif kepada pencegahan - Pakar

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada pendekatan mitigasi banjir secara reaktif, kepada pelaburan lebih besar dalam aspek pencegahan.

Perunding bebas alam sekitar dan iklim, Ahmad Afandi Nor Azmi, berkata ia berikutan negara berdepan risiko iklim yang semakin meningkat.

Beliau menjelaskan walaupun kerajaan terus membelanjakan berbilion ringgit untuk projek mitigasi banjir, penekanan perlu diberikan kepada langkah jangka panjang bagi mengurangkan pendedahan dan kerentanan sebelum bencana berlaku.

Katanya, sebahagian besar perbelanjaan mitigasi banjir ketika ini digunakan untuk menangani masalah setempat akibat perancangan bandar dan kawalan pembangunan yang lemah, berbanding menangani risiko iklim daripada puncanya.

Beliau berkata, kehilangan kolam takungan banjir akibat pembangunan dan aktiviti pembalakan yang menyebabkan pemendapan kelodak di sungai, boleh mengurangkan keupayaan sungai mengalirkan air banjir.

Ahmad Afandi berkata, ia sekali gus menyebabkan projek mitigasi digunakan untuk menangani masalah yang timbul akibat perancangan yang kurang baik, bukannya menangani secara langsung kesan perubahan iklim.

Beliau berkata demikian pada program 'The Nation' terbitan Bernama TV dalam episod bertajuk 'Is Malaysia Ready For The Climate Risks Ahead?' di Wisma Bernama, hari ini.

Sebaliknya, Ahmad Afandi berkata, penekanan harus diberikan kepada usaha melindungi aset semula jadi seperti hutan tadahan air, paya bakau dan ruang hijau yang mampu menyediakan perlindungan lebih mampan serta kos efektif terhadap ancaman berkaitan iklim.

Beliau berkata, Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) memberi insentif kira-kira RM250 juta setahun kepada negeri untuk melindungi hutan, paya bakau dan aset semula jadi lain, manakala projek mitigasi banjir menerima berbilion ringgit dengan peruntukan pernah mencecah RM11 bilion pada satu peringkat.

"Jadi, bayangkan jika 10 peratus daripada jumlah itu disalurkan kepada EFT bagi memberi insentif kepada negeri untuk memulihara hutan tadahan air dan paya bakau.

"Ia akan memberikan pulangan lebih baik dan membantu menjimatkan lebih banyak wang pada masa depan," katanya.

Ahmad Afandi berkata, penyelesaian berasaskan alam juga mampu memberi manfaat melangkaui perlindungan banjir, termasuk pemuliharaan air, jaminan makanan dan perlindungan biodiversiti, selain mewujudkan peluang menarik pelaburan swasta dalam usaha pemuliharaan.

Pada peringkat bandar, beliau mencadangkan peruntukan tahunan khusus bagi melaksanakan projek perintis dan membangunkan 'bandar span' yang direka bentuk untuk menyerap serta menakung air hujan, berbanding bergantung semata-mata pada sistem perparitan dan kawalan banjir konvensional.

Katanya, pendekatan itu akan membolehkan kawasan bandar berfungsi selari dengan aliran air semula jadi, dan meningkatkan keupayaan menguruskan taburan hujan lebat.

Selain infrastruktur fizikal, Ahmad Afandi berkata, Malaysia juga perlu menaik taraf sistem amaran awal daripada amaran generik kepada komunikasi berasaskan impak yang menyediakan maklumat khusus dan boleh diambil tindakan oleh masyarakat.

Katanya, amaran teks atau WhatsApp ketika ini mungkin memaklumkan kepada penduduk bahawa kawasan dalam radius lima kilometer dari sungai berisiko dilanda banjir, namun tidak semestinya menjelaskan perkara yang mungkin berlaku atau tindakan perlu diambil.

"Anda tidak boleh sekadar mempunyai sistem amaran atau maklumat, sebaliknya perlu mengadakan latihan," katanya.

Beliau sekali gus memberi penekanan kepada kepentingan latihan kesiapsiagaan bencana secara berkala berasaskan komuniti.

Beliau berkata, persepsi risiko juga perlu berubah, terutama dalam kalangan komuniti yang sebelum ini kurang mengalami bencana besar.

"Orang yang sebelum ini tinggal di kawasan yang lebih selamat, menganggap keadaan itu baik-baik saja tetapi masyarakat di Pantai Timur mungkin lebih bersedia. Jadi, persepsi risiko itu perlu diubah," katanya.

Beliau berkata, Malaysia boleh mengambil iktibar daripada inisiatif kesiapsiagaan berasaskan komuniti serta latihan bencana berkala yang dijalankan di negara jiran seperti Filipina dan Indonesia.

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search