PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

4 kampung di Baling terjejas limpahan air sungai hujan lebat

4 kampung di Baling terjejas limpahan air sungai hujan lebat

BALING: Hujan lebat berterusan hampir empat jam di daerah ini semalam menyebabkan Sungai Iboi melimpah hingga mengakibatkan empat kampung terjejas dinaiki air, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata antara kawasan terbabit adalah Kampung Iboi, Kampung Sadek, Kampung Bendang Bechah dan Sriti Kupang.

Beliau berkata, bilik kawalan BBP Baling menerima panggilan berhubung kejadian limpahan air di jambatan Kampung Iboi pada jam 8.05 malam tadi.

"Saya bersama sepasukan anggota BBP Baling melakukan pemantauan di lokasi yang terjejas dan mendapati berlaku limpahan air serta arus deras dari Sungai Iboi dan Lata Celak.

"Keadaan itu berisiko kepada penempatan rendah dan berhampiran sungai namun tiada mangsa di situ, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkhairi berkata, pada jam 9 malam, anggota operasi mendapat maklumat terdapat beberapa rumah di Kampung Bendang, Lorong Penghulu Hassan mula dimasuki air kesan dari arus Sungai Iboi.

Beliau berkata, terdapat enam rumah kediaman penduduk di situ yang dinaiki air akibat limpahan sungai berkenaan.

"Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak dipindahkan kerana trend air mulai surut walaupun arus sungai di kawasan rumah masing-masing masih lagi laju dan berisiko.

"Kami turut memberi khidmat nasihat kepada penduduk kepada mangsa supaya peka perubahan cuaca dan risiko persekitaran di luar jangka, " katanya.

Zulkhairi berkata, hasil pemantauan di Jambatan Kampung Sadek dan Sriti Kupang mendapati tiada mangsa yang terbabit, namun penduduk dinasihatkan berhati-hati kerana arus sungai sangat laju dan tinggi.

Katanya, BBP Baling sentiasa bersiap sedia termasuk 33 anggota, aset dan jentera untuk melakukan pemantauan setiap tiga jam secara berterusan dari Kampung Iboi ke Kampung Sadek dan Taman Mesra di Kupang.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search