PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pihak berkuasa Nepal didakwa gagal selaras usaha agih bantuan

Pihak berkuasa Nepal didakwa gagal selaras usaha agih bantuan

KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal didakwa gagal menyelaras usaha mengagihkan bantuan ke kawasan yang mengalami kemusnahan besar akibat banjir dahsyat melanda Nepal pada 26 Ogos lalu.

Wakil tempatan di Rasuwa mendakwa bekalan bantuan tidak sampai ke kawasan itu kerana Kerajaan Persekutuan kumpulkan melalui sistem sehenti sebelum menyimpannya di Bidur, Nuwakot.

Berdasarkan Portal Nepal News semalam, pekan Timure, Syabrubesi dan Gosaikunda antara kawasan paling teruk terjejas.

Pengerusi Majlis Perbandaran Luar Bandar Gosaikunda, Kangsang Nurpu Tamang, berkata disebabkan kekangan itu, pihaknya terpaksa meminta dan mengumpul sendiri bekalan bantuan asas daripada pelbagai individu, organisasi dan institusi.

Beliau berkata, masalah timbul apabila bekalan bantuan dikumpul di Nuwakot, namun tiada laluan jalan yang boleh dilalui untuk membawanya masuk ke Rasuwa.

"Bantuan disimpan di Nuwakot. Kerajaan berkata bekalan tidak dapat dihantar kerana kenderaan besar tidak boleh memasuki Rasuwa," katanya.

Pengerusi Majlis Perbandaran Luar Bandar Kalika, Hari Krishna Devkota, berkata meskipun operasi menyelamat dijalankan Kerajaan Pusat, pihaknya juga terpaksa mengumpul bekalan bantuan dengan inisiatif sendiri.

Beliau berkata, masalah paling mendesak ketika ini ialah kekurangan gas petroleum cecair (LPG) untuk memasak.

"Kami menghantar bantuan yang diterima daripada pelbagai organisasi dan orang awam terus ke rumah keluarga mangsa," katanya.

Beliau berkata, penduduk yang rumah mereka musnah dihanyutkan kini terpaksa menumpang di rumah saudara-mara, manakala 25 individu ditempatkan di pusat penempatan sementara.

Katanya, seramai 146 individu masih hilang di Kalika, manakala 36 rumah musnah atau dihanyutkan.

Pengerusi Ward 1 Gosaikunda, Thuman, Urken Tshering Tamang, berkata usaha kerajaan menyalurkan bantuan turut menimbulkan kontroversi kerana penghantaran bantuan tanpa menggunakan helikopter adalah mustahil.

Bantuan yang dikumpulkan dari Kathmandu sebelum ini diletakkan di bawah kawalan pasukan keselamatan di Bidur, Nuwakot tanpa penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan, mengakibatkan mangsa berdepan kesukaran mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, Timbalan Datuk Bandar Bidur, Prabha Bogati, mengakui sebelum ini berlaku kelemahan penyelarasan antara pihak berkaitan, namun koordinasi mula dipergiatkan bermula Isnin lalu.

Beliau berkata, sebelum itu berlaku kekurangan penyelarasan antara pihak berkaitan.

Pada sidang Parlimen semala, wakil daripada semua parti politik senada apabila menggesa Kerajaan Pusat menyelaras bantuan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search