Pelitup alternatif disaran jika N95 sukar didapati
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 1 Sept: Orang ramai boleh menggunakan pelitup muka alternatif seperti KN95, KF94 atau FFP2 sekiranya pelitup N95 sukar didapati ketika keadaan jerebu.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr Helmy Hazmi berkata, pelitup berkenaan direka untuk menapis partikel halus dengan baik apabila dipakai dengan betul serta dipastikan melekap rapat pada muka.
“Pelitup muka pembedahan tiga lapis yang lebih mudah didapati masih boleh menapis sebahagian partikel tetapi pelindungannya terhadap PM2.5 jauh lebih rendah berbanding pelitup seperti N95,”katanya ketika dihubungi TVS hari ini
Menurutnya, walaupun tahap perlindungan pelitup pembedahan terhadap PM2.5 adalah lebih rendah, penggunaannya masih memberi manfaat berbanding tidak memakai sebarang pelitup.
Katanya walaupun satu pelitup pembedahan mungkin hanya memberikan pelindungan sekitar 45 peratus sahaja terhadap PM2.5 bergantung kepada jenis pelitup dan cara pemakaian, ia tidak bermaksud pelitup muka pembedahan langsung tidak berguna.
Menurut Dr Helmy memakai pelitup pembedahan adalah masih lebih baik daripada tidak memakai apa-apa pelitup langsung.
“Penggunaan dua pelitup pembedahan (double masking) boleh meningkatkan sedikit tahap perlindungan dengan mengurangkan kebocoran udara di bahagian tepi.
“Ini mungkin meningkatkan sedikit perlindungan kerana dapat mengurangkan kebocoran udara di bahagian tepi,”katanya lagi.
Tambah Dr Helmy kadar penapisan meningkat kepada sekitar 66 peratus apabila dua pelitup digunakan tetapi ia masih tidak menyamai perlindungan pelitup seperti N95 yang dipakai dengan baik.
Beliau dalam masa sama turut menasihati orang ramai supaya tidak menganggap penggunaan pelitup muka membolehkan mereka berada lebih lama di luar ketika keadaan jerebu teruk. – TVS
