Tragedi banjir dahsyat: PM Nepal beri amaran peningkatan risiko seiring perubahan iklim
- Admin UKK
- Berita
ISLAMABAD: Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, semalam menekankan bahawa risiko semakin meningkat akibat perubahan iklim, ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan susulan bencana banjir kilat dahsyat melanda negara Himalaya itu pada minggu lalu, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam hantaran melalui Facebook, Shah berkata, banjir kilat itu ialah antara bencana terbesar di rantau terbabit, yang dicetuskan oleh runtuhan salji dan batu di kawasan Himalaya.
"Kejadian itu menunjukkan risiko yang kita hadapi di rantau Himalaya kian meningkat seiring perubahan iklim.
"Oleh itu, rantau ini mesti terus berwaspada," katanya.
Malah, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk isu bencana dialami Nepal akibat perubahan iklim, dibangkitkan dengan lebih tegas kepada masyarakat antarabangsa.
Dalam pada itu, katanya, mayat mangsa yang tidak dapat dikenal pasti susulan tragedi bencana berkenaan, sedang diuruskan mengikut prosedur saintifik dan selaras dengan undang-undang.
Beliau berkata, kerajaan hanya menguruskan mayat yang identiti tidak dapat dikenal pasti, selain menyimpan DNA serta bukti lain yang boleh membantu proses pengecaman.
Semalam, pasukan penyelamat terus melakukan pencarian di sungai dan terowong projek hidroelektrik bagi mengesan mayat serta individu yang masih hilang.
Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Himalaya mencecah lebih 1,019 mangsa, setakat semalam, seminggu selepas bencana itu melanda kawasan sempadan antara Nepal dengan China, menurut data rasmi.
Data dari Nepal dan China menunjukkan sekitar 4,462 orang, termasuk 844 warga asing, masih hilang.
Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal berkata, pasukan mencari dan menyelamat mengesahkan 84 lagi kematian, menjadikan jumlah korban di sebelah sempadan Nepal mencecah 1,003 mangsa, manakala 3,916 orang termasuk 583 warga asing pula masih hilang.
Pihak berkuasa China pula mengesahkan 16 kematian, manakala usaha mencari 546 orang yang dilaporkan hilang termasuk 261 warga asing, masih diteruskan.
