September kemuncak El Nino, 'medan pertempuran' sebenar lawan kebakaran hutan - Indonesia
- Admin UKK
- Berita
JAKARTA: September ini dilihat bakal menjadi 'medan pertempuran' sebenar bagi Indonesia dalam menangani kebakaran hutan dan tanah apabila fenomena El Nino mencapai kemuncaknya.
Hal itu susulan Indonesia masih berdepan risiko tinggi kebakaran hutan walaupun terdapat penurunan bilangan titik panas hasil usaha pemadaman yang dipergiatkan sejak sebulan lalu.
Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, berkata Kerajaan Indonesia menjadikan fenomena El Nino yang teruk pada 2015 sebagai penanda aras.
Beliau berkata, ia memandangkan kekuatan fenomena tahun ini adalah setara, walaupun keluasan kawasan yang terbakar hingga Julai lalu adalah sekitar 202,004 hektar berbanding kira-kira 600,000 hektar bagi tempoh sama pada 2015.
"September ialah kemuncak El Nino. Alhamdulillah, sekali lagi trendnya (titik panas) menurun, harus kita pertahankan. Namun waspada, harus sangat waspada kerana September bagi saya ialah 'medan pertempuran' sebenar.
"Kita belum bebas daripada ancaman El Nino ini... kita belum bebas sepenuhnya," katanya pada sidang media dalam talian, semalam.
Raja Juli berkata, angka kawasan terbakar pada Ogos lalu masih dalam proses pengiraan, termasuk menerusi pemeriksaan dron bagi memastikan ketepatan.
Beliau berkata, lima langkah akan kekal menjadi tumpuan utama usaha kerajaan pada September ini, iaitu operasi pengubahsuaian cuaca (OMC), pengeboman air, pemadaman kebakaran di darat, penguatkuasaan undang-undang, dan peningkatan kesedaran orang ramai.
Kerajaan Indonesia telah mengerahkan 53 aset udara untuk tujuan rondaan, OMC dan pengeboman air dengan bantuan daripada Jepun yang dijangka diterima, manakala pesawat dari Russia yang disewa oleh Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dijadualkan untuk dikerahkan ke Sumatera Selatan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Berhubung aspek penguatkuasaan, Raja Juli memaklumkan bahawa pihak polis telah menamakan 89 suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah.
Selain itu, Kementerian Perhutanan sedang memproses 30 kes jenayah dan telah mengeluarkan amaran kepada 52 pemegang permit perniagaan penggunaan hutan (PBPH), dengan enam daripadanya telah dikenakan tindakan tegas.
Beliau menegaskan Indonesia akan meneruskan usaha meminimumkan kesan jerebu rentas sempadan terhadap negara-negara jiran.
