Hujan ekstrem punca Melaka banjir, bukan pam yang gagal - Exco
- Admin UKK
- Berita
Melaka: Taburan hujan ekstrem melebihi 100 milimeter (mm) yang direkodkan di 21 daripada 41 stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjadi antara faktor utama beberapa kawasan di Melaka dilanda banjir, hari ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, jumlah taburan hujan kali ini turut melebihi rekod ketika Ribut Tropika Senyar yang melanda November tahun lalu.
Beliau berkata, ketika Ribut Senyar, jumlah hujan tertinggi direkodkan adalah 147mm, namun kali ini Stesen Hujan Pusat Pertanian Sungai Udang mencatatkan taburan hujan sebanyak 174.5mm.
Menurutnya, bacaan taburan hujan diklasifikasi sangat tinggi dan ekstrem apabila jumlah melebihi 100mm serta dianggap kritikal apabila berterusan seperti hari ini yang bermula 5 pagi hingga hampir 5 petang.
Katanya, selain Stesen Sungai Udang, Stesen Hujan Solok Duku di Masjid Tanah turut merekodkan 163.5mm, diikuti UiTM Lendu (146mm) dan Empangan Bertam Hulu (143.5mm).
"Keadaan itu menyebabkan air sungai melimpah dan menjejaskan kebanyakan kawasan berhampiran sungai serta tali air.
"Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Bukit Rambai, selain beberapa kawasan dinaiki air seperti Taman Masjid Tanah Ria, Pengkalan Batu, Duyong, Bemban dan juga Serkam," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bukit Rambai Utama, di sini petang tadi.
Turut hadir, Pengarah JPS Negeri Melaka Ir Mohd Adnan Ahmad Fauzi.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, keadaan di Bukit Rambai khususnya Taman Rambai Jaya dan Taman Rambai Utama agak teruk apabila air masih belum surut ketika tinjauan petang tadi.
"Yang mengejutkan apabila banjir lumpur di Bertam Ulu yang disifatkan luar biasa hampir 30 tahun tidak berhadapan bencana ini," katanya.
Dalam pada itu, Rais menafikan kejadian banjir kali ini berpunca daripada kegagalan fungsi sistem pam kerana semakan JPS mendapati semua rumah pam beroperasi dengan baik.
Katanya, hasil tinjauan di Taman Masjid Tanah Ria turut mendapati keempat-empat pam sedia ada termasuk satu pam milik Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berfungsi seperti biasa.
"Isunya bukan pam tidak berfungsi atau kolam tidak disenggara, tetapi taburan hujan yang sangat tinggi menyebabkan air sungai melimpah dan tidak mempunyai laluan untuk keluar dengan cepat," katanya.
