PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Banjir di Melaka, ini penjelasan EXCO Kanan kerajaan negeri punca bencana

Banjir di Melaka, ini penjelasan EXCO Kanan kerajaan negeri punca bencana

MELAKA: Taburan hujan ekstrem melebihi 100 milimeter (mm) yang direkodkan di 21 daripada 41 stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di seluruh negeri, antara faktor utama punca beberapa kawasan di Melaka dilanda banjir hari ini.

EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, jumlah taburan hujan kali ini turut melebihi rekod ketika kejadian Ribut Tropika Senyar yang melanda negeri ini pada November tahun lalu.

Beliau berkata, ketika Ribut Senyar, jumlah hujan tertinggi direkodkan adalah 147mm, namun kali ini Stesen Hujan Pusat Pertanian Sungai Udang mencatatkan taburan hujan sebanyak 174.5mm.

"Bacaan berkenaan menunjukkan taburan hujan sangat tinggi dan ekstrem apabila jumlah melebihi 100mm dikategorikan sebagai kritikal, susulan hujan berterusan yang bermula seawal jam 5 pagi hingga hampir jam 5 petang.

"Selain Sungai Udang, Stesen Hujan Solok Duku di Masjid Tanah turut merekodkan 163.5mm, diikuti UiTM Lendu (146mm) dan Empangan Bertam Hulu (143.5mm). Ini menyebabkan air sungai melimpah dan menjejaskan kebanyakan kawasan berhampiran sungai serta tali air.

"Antara yang terjejas teruk adalah Bukit Rambai selain beberapa kawasan seperti Taman Masjid Tanah Ria, Pengkalan Batu, Duyong, Bemban dan juga Serkam," katanya ketika ditemui di Taman Bukit Rambai Utama, di sini, petang tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Melaka, Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, keadaan di Bukit Rambai khususnya Taman Rambai Jaya dan Taman Rambai Utama agak teruk apabila air masih belum surut ketika tinjauan dilakukan di kawasan berkenaan petang tadi.

Beliau berkata, perkara yang turut mengejutkan adalah kejadian banjir lumpur di Bertam Ulu yang disifatkan luar biasa selepas kawasan yang sudah lama tidak mengalami bencana itu hampir 30 tahun berikutan taburan hujan tinggi.

Dalam pada itu, Rais yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang menafikan kejadian banjir kali ini berpunca daripada kegagalan sistem pam berfungsi kerana semua rumah pam didapati beroperasi dengan baik.

Katanya, hasil tinjauan di Taman Masjid Tanah Ria turut mendapati keempat-empat pam sedia ada termasuk satu pam milik Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) berfungsi seperti biasa.

"Isunya bukan pam tidak berfungsi atau kolam tidak disenggara. Tetapi taburan hujan yang sangat tinggi menyebabkan air sungai melimpah dan tidak mempunyai laluan untuk keluar dengan cepat," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search