PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gempa Mindanao: PM jamin perkhidmatan kecemasan negara bersiap sedia

Gempa Mindanao: PM jamin perkhidmatan kecemasan negara bersiap sedia

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa perkhidmatan kecemasan negara bersiap sedia sepenuhnya terhadap sebarang perkembangan susulan gempa bumi kuat yang melanda Mindanao, Filipina, pagi ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga kini sedang memantau dengan teliti perkembangan bencana yang melanda selatan Filipina itu sebelum tindakan sewajarnya diambil.

“Saya juga mengambil maklum kesan yang turut dirasai lebih dekat dengan kita, apabila gegaran dirasakan di beberapa kawasan di Sabah, Malaysia. 

“Saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kerajaan sedang memantau keadaan dengan teliti, dan perkhidmatan kecemasan kita berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut merakam kebimbangan yang mendalam susulan bencana tersebut terhadap Filipina.

“Ingatan dan doa kami bersama rakyat Filipina. Malaysia bersedia untuk menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan.

“Malaysia dan Filipina merupakan sahabat rapat serta rakan dalam ASEAN. Saya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terjejas, serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi hari-hari yang mencabar mendatang,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi kuat dengan ukuran 7.9 magnitud menggegarkan Mindanao kira-kira jam 7.37 pagi tadi.

Gempa luar pesisir itu melanda pada kedalaman 35 kilometer, kira-kira 24 kilometer ke barat wilayah Sarangani di Pulau Mindanao.

Susulan kejadian itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan gegaran mengakibatkan tsunami setinggi 0.4 meter di beberapa kawasan di pantai timur Sabah membabitkan Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Gegaran turut dirasai di Tawau dan Semporna namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search