460 mangsa banjir Gelang Patah dapat wang ihsan
- Admin UKK
- Berita
ISKANDAR PUTERI: Seramai 460 mangsa banjir yang terbabit dalam kejadian banjir kilat di kawasan Gelang Patah pada 12 Jun lalu, menerima bantuan wang ihsan berjumlah RM300 bagi setiap isi rumah.
Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed berkata, jumlah keseluruhan sumbangan wang ihsan RM135,000 itu diberikan Pejabat Menteri Besar Johor.
Selain sumbangan wang tunai, katanya, terdapat beberapa pihak yang turut menyumbang peralatan bagi mengurangkan bebanan mangsa banjir.
"Banjir kilat ini membabitkan penduduk di sembilan kampung dan sebuah taman perumahan di sekitar Gelang Patah di bawah Mukim Jelutong dan Mukim Tanjung Kupang.
"Sumbangan wang ihsan ini dapat meringankan dan membantu sedikit keluarga yan terjejas," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Wang Ihsan dari Pejabat Menteri Besar Johor dan taklimat persediaan menghadapi banjir di Dewan Raya Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Taman Nusantara, Gelang Patah di sini, semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berharap permohonan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebanyak RM5 juta dapat diluluskan Kerajaan Persekutuan.
Katanya peruntukan itu bagi membuat tebatan banjir di Jambatan Besi di Jalan Gelang Patah - Pendas.
"Jambatan besi dikenal pasti sebagai satu daripada sembilan 'hotspot' banjir kilat kerana aliran air yang tersekat dan melimpah sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat.
"MBIP juga sudah mengambil langkah munasabah jangka pendek dan panjang untuk kesemua kawasan ini bagi mengurangkan risiko kejadian banjir kilat berulang," katanya. - BERITA HARIAN