PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Lebih 319 hektar terjejas akibat kebakaran terbuka di Terengganu

Lebih 319 hektar terjejas akibat kebakaran terbuka di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 319.7203 hektar kawasan di seluruh Terengganu terjejas akibat kebakaran terbuka bagi tempoh 1 Januari hingga 27 April lalu dengan kawasan belukar atau lalang mencatatkan keluasan terbesar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, daripada jumlah keluasan itu, belukar atau lalang merekodkan 190.9121 hektar, diikuti hutan (117.051 hektar), lain-lain kebakaran terbuka (8.4742 hektar) serta kebun atau ladang (3.283 hektar).

Dalam tempoh sama, sebanyak 1,434 kes kebakaran terbuka dan hutan direkodkan di negeri ini dengan kebakaran belukar atau lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,133 kes.

“Kebakaran terbuka lain seperti pembakaran longgokan kayu dan sampah merekodkan 145 kes, kebakaran hutan (140 kes) serta kebun atau ladang (16 kes),” katanya.

Katanya, Kuala Nerus merekodkan jumlah kes tertinggi sebanyak 255 kes, diikuti Kemaman (238 kes), Marang (207 kes) dan Dungun (205 kes), manakala Hulu Terengganu mencatatkan jumlah terendah iaitu 32 kes.

Kebakaran hutan paya gambut di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun yang bermula 23 April lalu terkawal apabila kira-kira 73 peratus daripada keseluruhan 34 hektar kawasan terjejas dipadamkan.

“Setakat ini, sebanyak 24.8 hingga 25 hektar kawasan dipadamkan manakala baki sembilan hektar masih dalam usaha pemadaman dan dijangka selesai menjelang hari ini,” katanya.

Operasi pemadaman melibatkan seramai 93 anggota terdiri daripada JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam dengan kekuatan anggota ditingkatkan bagi mempercepat operasi.

Antara aset digunakan ialah dua jentera LFRT, sebuah helikopter AW139, dua lori tangki air JBPM, sebuah lori tangki RISDA, dua kenderaan utiliti serta sebuah jentera.

Katanya, operasi pemadaman berdepan pelbagai cabaran termasuk ketiadaan laluan untuk jentera ke lokasi kebakaran, kejadian kebakaran serentak di beberapa lokasi berbeza, faktor cuaca panas dan kering serta sikap segelintir yang masih melakukan pembakaran terbuka.

“Cuaca panas dan kering menyebabkan api cepat merebak, selain terdapat kes kebakaran berulang di lokasi sama akibat aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal,” katanya.

Nor Mahathir berkata, JBPM Terengganu turut mengambil pelbagai inisiatif termasuk bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk membuat hebahan larangan di semua masjid dan surau seluruh negeri.

​Aktiviti pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan undang-undang serius yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling iaitu denda sehingga RM500,000, penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN

 
 
 
 
 
 
 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search