Kerja mitigasi TTDI capai 50 peratus
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kerja mitigasi atau pemulihan sementara di lokasi tebing runtuh dan banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kini mencapai 50 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Datuk Ir. Ibrahim Esa berkata, kerja-kerja itu melibatkan pemasangan konkrit penghadang dan beberapa langkah kecemasan lain bagi menahan pergerakan tanah ke jalan awam.
“Setakat ini sebanyak 160 konkrit penghadang telah disusun semula di lokasi terjejas dan jumlah itu akan ditambah kepada kira-kira 200 unit bagi memperkukuh benteng penahan sementara,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lokasi semalam.
Menurutnya, JKR telah mengarahkan pihak kontraktor melaksanakan kerja mengorek takungan bagi kolam tadahan sementara di bahagian atas sebagai langkah sementara bagi mengurangkan limpahan air ke kawasan runtuhan.
“Kerja pemulihan semalam sedikit perlahan berikutan hujan lebat menyebabkan keadaan tanah menjadi lembut dan menyukarkan pergerakan jentera di tapak.
“Kontraktor telah diarahkan menambah jentera bagi mempercepat proses pemulihan dan memastikan sasaran dua hari dapat dicapai,” katanya.
Ibrahim berkata, JKR menempatkan petugas secara berterusan di lokasi selama 24 jam untuk memantau perkembangan semasa dan bertindak segera jika berlaku sebarang perubahan.
Katanya, pusat operasi juga diwujudkan di tapak selain war room di pejabat bagi membolehkan perbincangan terperinci dibuat dari semasa ke semasa.
Mengulas siasatan awal, beliau berkata, punca utama kejadian dikenal pasti akibat hujan lebat luar jangka yang melebihi keupayaan kolam tadahan sedia ada di tapak pembinaan.
Katanya, walaupun kolam tadahan sementara telah disediakan sebelum ini, jumlah air yang terlalu banyak menyebabkan limpahan berlaku dan memerlukan langkah tambahan diambil segera.
Keselamatan penduduk kekal menjadi keutamaan utama sepanjang operasi pemulihan dan kawalan di kawasan itu.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, projek berkenaan sememangnya merangkumi pembinaan kolam tadahan kekal, namun dalam tempoh pembinaan ini, langkah mitigasi sementara perlu terus diperkasa,” katanya. – UTUSAN
