PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pembenihan awan di wilayah utara tunjuk petanda positif

Pembenihan awan di wilayah utara tunjuk petanda positif

SUBANG: Paras air di beberapa empangan di wilayah utara negara mencatat peningkatan kecil serta menunjukkan isyarat awal keberkesanan operasi pembenihan awan yang dilaksanakan kerajaan sejak semalam. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini paras air di dua empangan iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Pedu, Kedah telah mencatatkan kenaikan berbanding semalam. 

Menurutnya,keberkesanan operasi itu dipantau secara berterusan melalui analisis data cuaca dan jumlah taburan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Semalam paras air menunjukkan sedikit peningkatan sekitar 0.01 meter di Empangan Timah Tasoh dan Empangan Pedu manakala di kawasan lain masih belum mencatatkan sebarang perubahan. 

“Peningkatan ketara hanya boleh berlaku sekiranya hujan turun secara berterusan. Jadi kita harap hujan dapat berlaku hari ini, diikuti esok dan hari-hari seterusnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas meninjau Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Pangkalan Udara Sudang di sini, hari ini. 

Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim dan Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, penghasilan hujan daripada OPA bukan sahaja dapat meredakan suhu panas malah membantu meningkatkan paras air di empangan. 

“Penyusutan air di empangan bukan sahaja memberi kesan kepada sumber bekalan air domestik, tetapi juga kepada sektor pertanian khususnya pengairan sawah padi, perikanan dan pelancongan. 

“Kegagalan menangani isu ini secara berkesan berpotensi memberi kesan rantaian terhadap bekalan makanan, pendapatan komuniti luar bandar serta kestabilan ekosistem setempat,” katanya. 

Menurutnya, operasi kali ini memberi fokus kepada 11 empangan utama yang dalam kategori waspada, amaran dan kritikal melibatkan tiga negeri di utara iaitu Perak, Kedah dan Perlis, serta satu kawasan di selatan Semenanjung iaitu Johor bermula 6 hingga 8 April 2026. 

“Empat siri OPA akan bertumpu di Empangan Timah Tasoh di Perlis. Empangan Ahning, Pedu dan Muda (Kedah), Empangan Temenggor dan Bukit Merah (Perak) serta Empangan Lebam, Upper Layang, Lower Layang, Gunung Pulai dan Machap (Johor),” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan itu dilakukan melalui semburan larutan garam ke dalam awan kumulus menara menggunakan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C-130 Hercules bermula pada pukul 2.40 petang (Kedah) dan 3.25 petang (Perlis).

Tambahnya, taburan hujan direkodkan antara 29.8 milimeter (mm) hingga 34.7mm di Perlis manakala di Kedah antara 9.3mm hingga 30.9mm dalam tempoh sama.

“Laporan cerapan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut merekodkan hujan di stesen Pedu (13.5mm), Muda (6.0mm hingga 49.0mm) dan Ahning (2.0mm hingga 4.0mm).

“Ini menunjukkan keberkesanan operasi dalam keadaan atmosfera yang sesuai.

“Bagaimanapun, kita akan lihat hingga 10 April ini daripada luruan angin dan juga haluan awan yang dibawa oleh angin itu sebab kita mahu supaya hujan itu turun tepat atau berdekatan dengan empangan-empangan yang kita sasarkan,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search