PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Operasi pembenihan awan tumpu 11 empangan utama di 4 negeri - Zahid

Operasi pembenihan awan tumpu 11 empangan utama di 4 negeri - Zahid

SUBANG: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang bermula sejak semalam hingga Khamis ini memberi tumpuan kepada 11 empangan utama di empat negeri yang berada pada tahap waspada dan kritikal bagi memastikan bekalan air terus terjamin susulan cuaca panas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata operasi ini dilaksanakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bagi operasi hari ini iaitu hari kedua, katanya ia akan berfokus di kawasan ke negeri Kedah dan Perlis.

"Operasi kali ini memberi fokus kepada 11 empangan utama yang dalam kategori waspada, amaran dan kritikal melibatkan tiga negeri di utara iaitu Perak, Kedah dan Perlis.

"Ia termasuk satu kawasan di selatan Semenanjung iaitu negeri Johor," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan Operasi Pembenihan Awam (OPA) di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.

 

Turut hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim dan Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), berkata empat siri OPA akan bertumpu di Empangan Timah Tasoh (Perlis); Empangan Ahning, Pedu dan Muda (Kedah); Empangan Temenggor dan Bukit Merah (Perak); serta Empangan Lebam, Upper Layang, Lower Layang, Gunung Pulai dan Machap (Johor).

Beliau berkata, pelaksanaan OPA adalah langkah proaktif bagi meningkatkan taburan hujan selepas beberapa aspek teknikal dan keadaan atmosfera dikenal pasti sesuai.

"Ini termasuk pembentukan awan yang mencukupi, sokongan arah pergerakan angin, serta tahap kestabilan udara yang dapat menggalakkan perkembangan awan.

"Selain itu, paras kelembapan yang tinggi serta potensi awan kumulus menara terbentuk dan berkembang turut diambil kira supaya keberkesanan operasi dapat menghasilkan hujan di kawasan sasaran," katanya.

Guna 200kg garam

Dalam operasi itu, katanya, pasukan teknikal MetMalaysia menggunakan 200 kilogram (kg) garam (natrium klorida) yang dilarutkan dalam 1,500 liter air bagi satu tangki sebelum dimuatkan ke dalam pesawat C-130 Hercules milik TUDM.

"Pesawat berkenaan diterbangkan pada ketinggian antara 5,000 hingga 9,000 kaki untuk membuat semburan ke dalam awan kumulus menara dengan hujan lazimnya turun antara 30 hingga 60 minit selepas pembenihan dilakukan.

Ahmad Zahid berkata, keberkesanan operasi dipantau secara berterusan melalui analisis data cuaca dan jumlah taburan hujan oleh MetMalaysia.

Menurutnya, hujan daripada OPA ini bukan sahaja dapat meredakan suhu panas, malah turut dapat membantu meningkatkan paras air empangan.

"Penyusutan air di empangan bukan sahaja memberi kesan kepada sumber bekalan air domestik, tetapi juga kepada sektor pertanian khususnya pengairan sawah padi, perikanan dan pelancongan.

"Kegagalan menangani isu ini secara berkesan berpotensi memberi kesan rantaian terhadap bekalan makanan, pendapatan komuniti luar bandar serta kestabilan ekosistem setempat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap usaha ini dapat memastikan kesinambungan dan keselamatan bekalan air bagi kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian sentiasa terjamin tanpa gangguan.

 

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search