PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Ancaman cuaca panas

Ancaman cuaca panas

PETALING JAYA: Gelombang cua­ca panas, kering dan berangin yang melanda Semenanjung Ma­laysia ketika ini mula memberi kesan ketara terhadap alam se­kitar, keselamatan awam serta sum­ber bekalan air khususnya di beberapa negeri di bahagian utara.

Situasi berpanjangan itu me­nyaksikan peningkatan menda­dak kes kebakaran hutan dan belukar malah terdapat beberapa kejadian yang masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya walaupun telah berlarutan lebih seminggu.

Keadaan cuaca kering turut menyebabkan paras air di empangan utama dilaporkan menyusut sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap simpanan air mentah sekiranya cuaca panas berterusan.

Di utara, kawasan sawah dilaporkan mula terjejas dengan sebahagiannya kering kontang dan menunjukkan rekahan yang ketara akibat kehilangan kelembapan.

Ancaman paling serius ketika ini adalah kebakaran hutan berskala besar yang melibatkan ratusan hektar di beberapa negeri termasuk Johor, Se­langor, Pulau Pinang dan Perlis.

Kebakaran tersebut bukan sa­haja memusnahkan kawasan se­kitar malah turut memberi ke­san kepada kualiti udara serta menjejaskan kehidupan pendu­duk setempat yang terdedah ke­pada jerebu dan haba tinggi.

Di Johor, kebakaran tanah gambut melibatkan keluasan kira-kira 161.16 hektar yang berlaku di tiga buah daerah ia­itu Kluang, Muar dan Kota Tinggi sejak 28 Januari lalu masih belum padam sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir berkata, sifat tanah gambut itu sendiri menyebabkan kebakaran itu masih belum dapat dipadam.

Katanya, api gambut tidak hanya terbakar di atas permukaan sebaliknya turut terbakar di bawah permukaan tanah dan sukar dikesan.

Katanya, walaupun api di permukaan kelihatan seperti telah terpadam namun bara masih boleh merebak dalam tanah menyebabkan kerja pe­madaman dibuat secara mendalam dan berulang.

“Cabaran lain dihadapi termasuklah sumber air yang se­makin terhad, di mana ada kawasan bekalan air perlu diambil secara berulang-alik oleh lori tangki melibatkan jarak sehingga 5.8 kilometer sekali gus melambatkan kerja-kerja pemadaman.

“Faktor cuaca panas dan kering serta berangin turut menyebabkan situasi fly of transfer iaitu bara api diterbangkan angin menyebabkan kebakaran merebak di kawasan lain.

“Situasi ini memerlukan anggota menambah kawalan dan menukar tumpuan kerja pemadaman di beberapa lokasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kejadian kebakaran itu juga sekiranya berterusan dibimbangi boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada penduduk.

Pengarah Jabatan Alam Se­kitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, kebarangkalian itu wujud susulan kebakaran yang berlaku turut menjejaskan kualiti udara di kawasan berhampiran.

“Jika kebakaran tanah gambut ini masih berterusan, memang ada risiko boleh menjejaskan kesihatan orang awam.

“Sehubungan itu, penduduk di kawasan berhampiran perlu sentiasa peka dengan sebarang pengumuman yang dibuat ke­rajaan,” katanya.

Tambah beliau, pencemaran udara diukur dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dimana sekiranya bacaan melebihi 100 ia akan dikategorikan sebagai tidak sihat.

Bagaimanapun berdasarkan tahap kualiti udara semasa katanya, bacaan IPU di ketiga-tiga kawasan berkenaan masih kekal di bawah 100.

Tidak terkecuali kebakaran juga berlaku di Perlis dengan sebanyak 183 panggilan membabitkan kes kebakaran diterima JBPM negeri sepanjang bulan Januari dengan ang­garan kerugian sebanyak RM859,300.

Pengarah JBPM Perlis, Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd Zin berkata, jumlah kes berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu dan dijangka terus meningkat sehingga berlakunya peralihan monsun.

“Corak kebakaran yang berlaku ketika ini lebih tertumpu kepada kebakaran belukar, lalang dan kebakaran terbuka. Faktor cuaca panas, kering serta kekurangan hujan me­nyumbang kepada peningkatan bilangan kes,” katanya.

Di Selangor kira-kira 19 daripada 23 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) dekat Sungai Kelambu, Kuala Langat yang terbakar berjaya dipadam sehingga pukul 8.30 pagi semalam.

Ketua Zon 5 (KLIA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II, Mohamad Issmanto Md. Pono berkata, kebakaran masih aktif namun tidak menjejaskan penempatan berhampiran dan loji rawatan air (LRA) berdekatan.

Kebakaran hutan berskala besar juga dilaporkan berlaku membabitkan lapan hektar kawasan Hutan Simpan Island iaitu berhampiran Botanical Garden di Bukit Bendera, Pulau Pinang kelmarin.

Pada masa sama di negeri itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan taburan hujan yang sangat rendah direkodkan di kawasan tadahan utama.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, sebanyak 17.5 milimeter (mm) hujan direkodkan di kawasan tadahan air Empangan Air Hitam manakala Empangan Teluk Bahang hanya menerima 5.5 mm hujan dalam tempoh sama.

“Situasi itu turut memberi kesan kepada paras air Sungai Muda yang berada di bawah paras selamat 2.0 meter berikutan pelepasan air pengairan bagi menyokong penanaman padi di Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.

Cuaca panas di Perlis yang terus berlarutan turut menyebabkan lebih 291.8 hektar kawasan sawah khususnya di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terjejas teruk berikutan tanaman padi yang kering serta tanah merekah.-UTUSAN.

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search