Panas: Kebakaran belukar di Perlis rekod 137 kes dalam sebulan
- Admin UKK
- Berita
KANGAR: Sebanyak 183 panggilan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri membabitkan kes kebakaran di Perlis berikutan cuaca panas dan kering sepanjang Januari dengan anggaran kerugian RM859,300.
Daripada jumlah itu, kes kebakaran belukar merekodkan 137 kes manakala kebakaran bangunan serta struktur pula melibatkan sebanyak 14 kes bagi tempoh sama.
Pengarah JBPM negeri, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, jumlah kes yang direkodkan itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan dijangka berterusan sehingga peralihan monsun nanti.
“Ini menunjukan paten kebakaran yang berlaku ketika ini adalah melibatkan kawasan belukar atau lalang dan kebakaran terbuka. Faktor cuaca juga menyumbang kepada peratusan dan bilangan yang tinggi ini,” katanya ketika ditemui selepas Perbarisan Tahunan JBPM negeri 2026 di Ibu Pejabat JBPM, di sini, semalam.
Wan Mohd Hamizi berkata, sepanjang tahun lalu, JBPM negeri menguruskan sebanyak 714 operasi melibatkan 400 operasi kebakaran, 308 operasi penyelamatan dan tiga operasi tugas khas.
Katanya, ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) juga menunjukkan cuaca panas dan kurang hujan ini dijangka berterusan di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan Utara Semenanjung sehingga 10 Februari ini.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, sama ada secara sengaja atau tidak terkawal dan berhati-hati dalam aktiviti harian yang boleh mencetuskan kebakaran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Wan Mohd Hamizi berkata, JBPM negeri turut menerima dua jentera bomba kompak atau CFRT yang akan membantu anggota untuk akses ke kawasan kebakaran di luar bandar yang mempunyai laluan kecil dan berliku serta laluan bendang sawah.
Katanya, dua jentera berkenaan amat membantu dan merupakan keperluan khususnya pada musim kemarau ini dalam melakukan tugas-tugas pemadaman kebakaran.
“Jentera ini akan ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar serta Arau sebagai persediaan bagi melakukan operasi pemadaman kebakaran,” katanya.-UTUSAN
