Pembinaan cerun Jalan Gua Musang-Lojing runtuh bermula Mac ini
- Admin UKK
- Berita
GUA MUSANG – Kerja pembinaan kawasan cerun atau tebing bukit di Kilometer (KM) 45, Jalan Gua Musang-Lojing yang runtuh pada awal Disember lalu dijalankan bermula bulan depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memahami kesulitan yang perlu dihadapi oleh pengguna jalan dan penduduk sekitar akibat penutupan laluan itu.
Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi kelulusan kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 30 Januari lalu bagi melaksanakan segera kerja pembaikan lokasi runtuhan secara Arahan Kerja (AK) yang akan dilaksanakan oleh pihak kontraktor.
“Syarikat Pintas Utama Sdn. Bhd. iaitu kontraktor jangka panjang yang dilantik bagi membantu kerajaan melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun berdasarkan keperluan dan kelulusan oleh KKR.
“Kerja-kerja awalan melibatkan penyiasatan tapak, ukur tanah dan reka bentuk terperinci akan dimulakan segera. Kerja-kerja pembinaan pula dijangka dimulakan pada awal Mac ini dengan pembinaan (lencongan sementara) agar laluan itu dapat dibuka semula kepada pengguna jalan,” katanya semasa mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Ke Tapak Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander memberitahu, CKC selaku Pengarah Projek dipertanggungjawabkan untuk merancang, mengurus dan menyelia kerja-kerja penyelenggaraan cerun terbabit.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, pergerakan air bawah tanah dipercayai menjadi punca berlakunya runtuhan jalan di KM 45 Jalan Gua Musang-Lojing, berhampiran Pos Blau di sini pada 3 Disember lalu.
