Masalah banjir kilat sekitar perkampungan Bintawa dapat perhatian
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 29 Jan: Masalah banjir kilat dan air bertakung yang kerap berlaku di Kampung Bintawa Ulu, Kampung Bintawa Tengah dan Kampung Bintawa Hilir mendapat perhatian daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, projek naik taraf sistem perparitan sedang dilaksanakan di beberapa kawasan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Ini bertujuan untuk mengurang air bertakung dan banjir kilat terutama semasa musim hujan.
“Terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak Bahagian Kuching yang melaksanakan projek RTP ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja membaik pulih dan menaik taraf sistem perparitan di beberapa lokasi di Kampung Bintawa Ulu, Kampung Bintawa Tengah dan Kampung Bintawa Hilir semalam.
Menurutnya, DID juga akan menjalankan kerja pendalaman Sungai Belian yang terletak di Kampung Bintawa Hilir.
Selain meninjau projek di perkampungan sekitar Bintawa, Dr. Abdul Rahman turut memantau dua projek pembinaan benteng konkrit yang siap di Kampung Boyan.
Pada masa sama, beliau turut meninjau keadaan Tabika KEMAS Kampung Bintawa Ulu.
Menurutnya, beberapa struktur di taman bimbingan kanak-kanak itu rosak dan dibaiki menggunakan dana RTP.
“Ia melibatkan kerja membaik pulih dan mengganti sebahagian struktur atap, dinding dan lantai.
“Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan dan dua bilik kelas akan dilengkapi dengan penghawa dingin baharu,” ujarnya.-TVS
