Tanah runtuh di Taman Pyramid, Limbang akibat hujan lebat
- Admin UKK
- Berita
LIMBANG, 26 Jan: Hujan lebat yang berlaku malam tadi mengakibatkan kejadian tanah runtuh di bahagian belakang perumahan Taman Pyramid, Jalan Kubong, di sini pagi ini.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan, berkata sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.27 pagi.
Menurutnya, kejadian berkenaan menyebabkan sebatang pokok tumbang dan mengenai wayar elektrik milik Sarawak Energy Berhad.
“Jarak rumah terdekat dengan kawasan tanah runtuh dianggarkan kira-kira 10 meter dan setakat ini tiada laporan melibatkan penduduk diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, insiden itu turut dimaklumkan kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Limbang, Jabatan Kerja Raya Limbang serta Sarawak Energy bagi tindakan susulan termasuk penilaian menyeluruh terhadap struktur tanah yang runtuh dan keadaan wayar elektrik yang terjejas.
