Paip utiliti bocor dipercayai punca lubang benam di Jalan Kenyalang 1
- Admin UKK
- Berita
GEORGETOWN: Kejadian lubang benam di Jalan Kenyalang 1, Bayan Lepas kelmarin dipercayai berpunca daripada kebocoran paip utiliti.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, berkata kontraktor sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kebocoran yang disyaki menyebabkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata mengenal pasti punca kebocoran adalah penting sebelum sebarang kerja pembaikan lanjut dapat dilaksanakan.
"Kita perlu mengenal pasti terlebih dahulu punca kebocoran sebelum dapat meneruskan langkah seterusnya," katanya kepada pemberita di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, di sini hari ini.
Kelmarin, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang mengumumkan Jalan Kenyalang 1 membabitkan satu lorong sisi di Bayan Lepas ditutup enam hari susulan penemuan lubang benam di kawasan berkenaan.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, JKR Pulau Pinang memaklumkan jalan berkenaan akan ditutup sehingga 25 Januari sebagai langkah keselamatan bagi melindungi pengguna.
Lubang benam dianggarkan berukuran kira-kira dua meter panjang, dua meter lebar dan sedalam 1.7 meter.
Setakat ini, laluan utama tidak terjejas dan hanya lorong sisi ditutup kepada trafik.
Zairil berkata, selepas mengenal pasti punca, syarikat utiliti akan diminta untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan.
