PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

TKHM bersama Coway santuni mangsa banjir

TKHM bersama Coway santuni mangsa banjir

KUANTAN: Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Coway menerusi Misi Bantuan Banjir berjaya mengagihkan sebanyak 1,600 Kotak Rezeki kepada mangsa banjir di dua lokasi di Pahang, sekali gus menjadi pengubat duka buat mereka yang terkesan akibat bencana itu, bulan lalu.

Lokasi pertama pengagihan diadakan di Taman Pelangkah, Pekan pada 11 Januari lalu sebelum diteruskan di Dewan Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Al Ubudiah Al Jariah, Taman Guru, di sini.

Pengurus Bahagian Pemasaran Coway Malaysia, Janice Tan, berkata setiap keluarga terjejas menerima dua kotak bantuan yang mengandungi pelbagai makanan kering serta barangan keperluan kebersihan diri bagi meringankan beban mangsa pascabanjir.

Menurutnya, bantuan itu diharap dapat membantu mangsa yang berdepan kesukaran selepas kediaman mereka rosak akibat banjir baru-baru ini.

"Dalam situasi mencabar ini, Coway tampil menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Kami percaya dalam keadaan susah dan senang, sokongan berterusan amat penting," katanya.

Beliau turut meluangkan masa meninjau keadaan beberapa rumah mangsa banjir di sekitar Kuantan dan menyifatkan usaha itu sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat Coway kepada masyarakat, khususnya di Pantai Timur.

Majlis pengagihan bantuan itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafiq Fauzan Sharif, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Khairul Amri Ahmad serta Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Janice berkata, secara keseluruhan 4,000 Kotak Rezeki akan diagihkan kepada 2,000 mangsa banjir di lima lokasi membabitkan Pahang, Terengganu dan Kelantan. Selepas pengagihan di Pahang dan Terengganu, lokasi seterusnya Tumpat pada 20 Januari dan Pasir Mas pada 22 Januari.

Sementara itu, Muhamad Safar berkata program berkenaan membuktikan komitmen Harian Metro bersama rakan korporat dalam membantu komuniti terkesan, selain memperkukuh usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan sejak 2007.

Bagi mangsa banjir, bantuan yang diterima amat bermakna. Amir Saidon, 62, berkata rumahnya di Taman Seri Inderapura ditenggelami air selama dua hari akibat banjir bulan lalu, sekali gus menjejaskan kehidupan sekeluarganya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan Coway Malaysia yang begitu prihatin terhadap nasib mangsa banjir di daerah ini. Bantuan ini adalah yang pertama kami terima selepas bencana banjir akhir tahun lalu dan amat bermakna buat kami.

"Saya berharap lebih banyak syarikat swasta tampil mengikut jejak langkah Harian Metro dan Coway untuk membantu mangsa banjir," katanya.

Seorang lagi mangsa, Nasrul Mat Yusof, 56, berkata banjir kali ini merupakan kejadian ketiga dialaminya sepanjang 12 tahun menetap di Taman Pelangkah, Pekan.

Menurutnya, banjir yang berlarutan selama dua hari itu memaksanya sekeluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (Shah), Pekan selama tiga hari bermula 17 Disember lalu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan Coway Malaysia yang mengambil berat kebajikan mangsa banjir. Bantuan ini sangat kami hargai kerana ia meringankan beban selepas bencana," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Gudang Rasau, Tarmizi Mohd Yusoff, turut merakamkan penghargaan kepada Harian Metro dan Coway Malaysia kerana memilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura sebagai lokasi kedua pengagihan bantuan.

"Saya berharap lebih banyak pihak swasta tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini kerana masih ramai yang memerlukan sokongan selepas kehilangan harta benda," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search