448 mangsa banjir Kampung Tanah Puteh berlindung di PPS
- Admin UKK
- Berita
SERIAN, 13 Jan: Seramai 448 mangsa daripada 131 keluarga terjejas akibat banjir di Kampung Tanah Puteh, kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Puteh sejak Ahad lalu.
PPS tersebut diaktifkan susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan paras air meningkat dengan cepat, khususnya di kawasan rendah kampung berkenaan yang sering menerima limpahan air dari kawasan hulu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Serian, LT (PA) Mackinly Jores berkata, PPS berkenaan telah diaktifkan seawal jam 7 pagi Ahad selepas menerima laporan beberapa rumah penduduk mula dinaiki air.
“Pada pagi Ahad, penduduk kampung telah memaklumkan beberapa rumah telah dinaiki air. Tindakan awal kita bersama PDRM sebagai Komander Operasi telah membuat pemantauan dan apabila melihat air semakin meningkat, kita mencadangkan agar Pejabat Residen mengaktifkan PPS,” katanya kepada TVS ketika ditemui di PPS SK Tanah Puteh, hari ini.
Tambahnya, limpahan air dari kawasan hulu termasuk kampung sekitar menyebabkan Kampung Tanah Puteh menjadi lokasi terakhir menerima aliran air, sekali gus meningkatkan risiko banjir besar apabila hujan berterusan.
Dalam pada itu, meskipun paras air dilaporkan mula menurun secara perlahan sejak pagi Selasa, mangsa banjir masih belum dibenarkan pulang sepenuhnya berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Kita bimbang keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan Kampung Tanah Puteh boleh menyebabkan paras air meningkat semula. Selagi PPS belum ditutup, kita tidak membenarkan mangsa pulang sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau menegaskan, keputusan tersebut dibuat sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko sekiranya berlaku peningkatan paras air secara mendadak. -TVS
