PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kemarau: Pesawah gesa air empangan dilepaskan untuk pengairan sawah

Kemarau: Pesawah gesa air empangan dilepaskan untuk pengairan sawah

KANGAR: Kira-kira 200 pesawah bimbang dengan tuaian padi bagi musim ini susulan kekurangan bekalan air akibat kemarau yang mengancam tanaman padi seluas 380 hektar bawah kelolaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Paya di kawasan sekitar Sempering, Jejawi dan Repoh, di sini.

Pesawah mendakwa kekurangan bekalan air itu berpunca daripada paras air sawah yang kering berikutan kemarau sejak lebih sebulan lalu.

Seorang pesawah, Ahmad Nasharuddin Yob, 59, dari Kampung Jejawi Dalam, berkata, tanaman padi di kawasan itu memerlukan bekalan air mencukupi bagi memastikan hasil dapat dikeluarkan namun melihatkan keadaan semasa dengan petak sawah mulai kering, ia amat merisaukan petani di kawasan berkenaan.

"Kami dimaklumkan Empangan Timah Tasoh masih mempunyai bekalan air mencukupi namun yang menghairankan air tidak pula dilepaskan untuk kegunaan pesawah di kawasan ini.

"Ketika ini, kami hanya bergantung kepada air Sungai Santan atau Sungai Ngulang namun petani di kawasan terbabit juga tidak akan melepaskan air jika empangan tidak menyalurkan bekalan ke kawasan mereka.

"Kebanyakan pesawah sudah mengeluarkan modal yang besar bagi mengusahakan tanaman termasuk menyewa tanah, tapi jika air masih tidak dibekalkan sudah tentu tanaman terjejas da kami kerugian besar," katanya ditemui di kawasan penanaman padi di Jejawi, di sini hari ini.

Terdahulu, 25 pesawah padi di kawasan itu berkumpul dan menuntut agar pengairan air dapat disalurkan semula memandangkan petak sawah padi yang diusahakan kini kering.

Ahmad Nashruddin berkata, situasi sama pernah berlaku pada 2019, namun ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Allahyarham Datuk Salahuddin Ayub mengambil tindakan pantas dengan mengarahkan pelepasan air empangan bagi menyelamatkan tanaman pesawah.

"Kami berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan isu ini dan menyalurkan segera bekalan air supaya tanaman tidak musnah," katanya.

Seorang lagi pesawah, Shamsuri Saad, 53, berkata, keadaan yang berlaku wajar diberi perhatian segera memandangkan tanaman padi di kawasan itu baru sahaja terjejas akibat bencana banjir besar akhir tahun lalu.

Kini, katanya pesawah baru bermula tapi petak sawah kering kerana tiada bekalan air mencukupi dan lebih parah kini berhadapan musim kering

"Aduan berhubung masalah bekalan air itu sudah beberapa kali disalurkan kepada wakil rakyat dan agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

"Perparitan di kawasan ini sudah baik, cuma masalahnya tiada air masuk ke sawah, terutama ketika musim kemarau.

"Ketika banjir besar, air empangan dilepaskan hingga tanaman musnah tetapi apabila kami memerlukan air sekarang, empangan pula tidak dilepaskan. Kami harap isu ini diberi perhatian serius," katanya.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search