Penduduk Kampung Tanah Puteh lali dan bersedia hadapi banjir saban tahun
- Admin UKK
- Berita
SERIAN, 13 Jan: Kejadian banjir yang hampir setiap tahun melanda Kampung Tanah Puteh menyebabkan penduduk di kawasan itu semakin lali dan sentiasa bersedia, khususnya ketika musim hujan berpanjangan pada penghujung tahun.
Seorang mangsa banjir, Siti Jamarriah Sufian, 30, berkata beliau sememangnya menjangka banjir akan berlaku saban tahun di kampung berkenaan, namun tidak menyangka paras air meningkat dengan mendadak kali ini.
Menurutnya, meskipun tinggal bersama ibunya, Haminah Lek, 58, mereka sekeluarga sudah membuat persediaan awal dengan memindahkan barangan penting ke tempat lebih tinggi sejak malam Sabtu lalu.
“Saya memaklumkan kepada emak dan adik bahawa air sedang naik. Saya dan adik berjaga hingga tengah malam untuk memindahkan barang ke tingkat atas kerana emak tidak dapat membantu akibat sakit kaki,” katanya.
Siti ditemui TVS bersama adiknya, Nurlida Haryati Sufian, 17, ketika membersihkan bahagian bawah rumah mereka di Kampung Tanah Puteh di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebagai anak jati Kampung Tanah Puteh, beliau tidak berhasrat untuk berpindah ke kawasan lain walaupun terpaksa berdepan ancaman banjir yang berlaku hampir setiap tahun.
Sementara itu, tinjauan TVS di Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh mendapati seramai 448 mangsa daripada 131 keluarga kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di sekolah berkenaan.
Kesemua mangsa ditempatkan di dewan sekolah serta beberapa bilik darjah yang dijadikan lokasi penempatan sementara dengan khemah turut didirikan bagi menempatkan mangsa banjir.
