PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi perkasakan pengurusan bencana negara

Kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi perkasakan pengurusan bencana negara

PUCHONG: Kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi digariskan sebagai hala tuju strategik bagi memperkasa pengurusan bencana negara dengan lebih tersusun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, pengurusan bencana tidak boleh lagi bergantung pada institusi semata-mata.

"Kita mesti memanfaatkan data raya, analitik ramalan serta integrasi maklumat cuaca, geospatial dan risiko sosial.

"Sistem amaran awal pintar perlu diperkukuhkan dan pendekatan 'anticipatory action' (tindakan awal berdasarkan jangkaan) mesti dijadikan amalan supaya kita bertindak sebelum bencana berlaku, bukan hanya selepas kerosakan terjadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Bersama Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di sini, hari ini.

 

Turut hadir ialah Ketua Pengarah NADMA, Meor Ismail Meor Akim; dan Komander Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Abdul Manaf Che Isa.

Seterusnya, Ahmad Zahid berkata, hala tuju strategik lain ialah tindakan pantas, terselaras dan berdisiplin, serta kemanusiaan berteraskan nilai dan empati.

"Kecekapan di lapangan bergantung pada struktur arahan yang jelas, protokol respons kebangsaan yang standard, serta latihan bersepadu dan simulasi krisis yang konsisten.

"Dalam setiap tindakan, keselamatan dan maruah mangsa mesti menjadi keutamaan. Pendekatan berpusatkan rakyat perlu menjadi asas, dengan bantuan disalurkan secara cepat, adil dan berintegriti," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu pengurusan Monsun Timur Laut 2025/2026 sebagai satu penanda aras baharu dalam pengurusan bencana negara.

"Persediaan awal yang dimulakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), disusuli penyelarasan yang konsisten pada peringkat lapangan membuktikan (kejayaan).

"Kerjasama rentas kementerian, jabatan, agensi serta kerajaan negeri mampu mengurangkan kelewatan, meminimumkan kekeliruan dan mempercepatkan tindak balas ketika rakyat berada dalam situasi paling kritikal," katanya.

Beliau berkata, pasukan SMART akan menjalani INSARAG External Reclassification (IER) pada tahun ini sebagai satu usaha memperkukuhkan keupayaan teknikal, di samping mengangkat imej negara kerana keterlibatan dalam misi bantuan dan tindak balas bencana pada peringkat antarabangsa.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search